
TEMERLOH – “Bukan emas betul, cuma gelang tiruan dari Korea.”
Warga emas, Rabiah Mat, 78, sayu menceritakan kejadian cedera disamun dan dipukul lelaki tidak dikenali di rumahnya di Taman Temerloh Jaya, semalam.
Katanya, suspek berpura-pura meminta air sebelum menyerangnya ketika bersendirian di rumah itu kira-kira jam 4.20 petang.
“Dia datang naik motosikal, beri salam dan minta air. Saya pun ke dapur nak ambilkan dan dia ikut sampai ke dapur.
“Selepas minum dua teguk, dia terus cengkam gelang saya dan tarik kuat. Dia sepak, terajang dan hentak kepala saya di mesin basuh hingga saya jatuh,” katanya ketika ditemui Berita Harian, hari ini.
Kejadian itu menyebabkan Rabiah cedera di kepala dan tangan.
Beliau berkata, suspek turut melarikan telefon bimbit milik cucunya sebelum melarikan diri.
“Mujur cucu saya berumur tahun tak diapa-apakan,” katanya.
Mangsa kerugian kira-kira RM1,000 dan membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh pada jam 8.53 malam tadi.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron mengesahkan menerima laporan kejadian.
Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun berserta kecederaan.







