
BINTULU – Seorang lelaki berusia 37 tahun maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlibat dalam kemalangan di persimpangan lampu isyarat Batu 2 di Jalan Sultan Iskandar, di sini malam tadi.
Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan 11 (PBKII) Mazlan Tanin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7 malam sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintulu dikejarkan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di tempat kejadian, didapati kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis MPV dan motosikal.
“Penunggang motosikal didapati tersepit di bawah kereta dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Bintulu,” katanya.
Pihak bomba menjalankan operasi menyelamat menggunakan kaedah ‘air lifting bag’ dan peralatan khas untuk mengeluarkan mangsa dari kereta.
Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.