
KUALA LUMPUR – Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) menyambut baik cadangan penubuhan Mahkamah Tinggi Rasuah sebagai langkah memperkukuh institusi kehakiman dan mempercepat penyelesaian kes berkaitan rasuah.
Timbalan Presidennya, Moies Basri berkata, kewujudan mahkamah atau sistem keadilan dalam sesebuah negara adalah satu kewajipan pemerintah bagi memastikan keadilan dapat ditegakkan secara tersusun dan berkesan.
Beliau berkata, mahkamah bukan sahaja mengendalikan satu jenis kes, sebaliknya perlu menangani pelbagai kes berkaitan undang-undang dan jenayah, sekali gus memerlukan pengurusan yang cekap serta proses yang teratur.
“Isu yang sering dibangkitkan ketika ini ialah soal kepantasan dan kelancaran proses perbicaraan. Apabila terlalu banyak kes perlu diselesaikan dalam tempoh tertentu, ia boleh menimbulkan persepsi bahawa proses mengambil masa yang lama.
“Dalam konteks rasuah yang menjadi antara fokus utama kerajaan ketika ini, penubuhan mahkamah khusus dengan hakim yang berpengalaman dan mempunyai kepakaran dalam pengendalian kes rasuah dilihat mampu mempercepat proses perbicaraan,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press, hari ini.

Beliau berkata, dari sudut pentadbiran, langkah mewujudkan mahkamah khusus bagi mendengar kes rasuah sahaja adalah satu pendekatan yang wajar kerana ia dapat membantu memperkemas pengurusan kes dan mengurangkan beban mahkamah sedia ada.
Mengulas dari perspektif Islam, beliau menegaskan bahawa sebarang usaha yang bertujuan memperkukuh sistem keadilan dan melancarkan pentadbiran adalah sesuatu yang baik serta tidak bercanggah dengan prinsip syariah.
“Sistem keadilan dalam Islam menuntut keseimbangan. Jika proses terlalu lambat, ia boleh menimbulkan ketidakpuasan dan menjejaskan kepercayaan masyarakat. Namun, jika terlalu tergesa-gesa, ia juga boleh menimbulkan persepsi berlakunya kesilapan.
“Justeru, penubuhan mahkamah khusus bagi kes rasuah yang dikendalikan secara profesional dan berintegriti adalah selari dengan tuntutan keadilan dalam Islam,” katanya.
Ujarnya, selagi matlamat penubuhan mahkamah berkenaan adalah untuk memastikan keadilan ditegakkan dan urusan pentadbiran diperkemas, maka ia merupakan langkah yang wajar disokong.
Terdahulu, Noor Ruwena Md Nurdin diumumkan sebagai pengerusi Mahkamah Tinggi Rasuah Khas Kuala Lumpur yang baharu, dengan pelantikan berkuat kuasa mulai 1 April ini.
Pada masa sama, sebanyak 14 Mahkamah Sesyen Khas Rasuah kini beroperasi di seluruh negara dengan sasaran menyelesaikan setiap kes dalam tempoh setahun dari tarikh pendaftaran, sekali gus memperlihatkan kesungguhan institusi kehakiman mempercepat serta memperkemas pengendalian kes berkaitan rasuah.






