
KERAJAAN telah memutuskan untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang bertujuan menangani isu buli dengan pendekatan yang lebih menyeluruh dan bersepadu.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, jawatankuasa tersebut akan dianggotai oleh pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, dan akan berperanan dalam menyelaras prosedur operasi standard (SOP) berkaitan gejala buli di setiap kementerian dan agensi yang terlibat.
“Penubuhan jawatankuasa ini diputuskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri yang diadakan hari ini, dan ia merupakan langkah penting ke arah memperkukuh usaha menangani masalah buli secara menyeluruh di pelbagai peringkat,” katanya dalam sidang media mingguan di Putrajaya, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, mesyuarat pertama jawatankuasa tersebut dijadualkan berlangsung pada 2 September ini akan dipengerusikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa jawatankuasa itu akan meneliti beberapa perkara penting termasuk penyelarasan SOP di asrama serta cadangan penubuhan tribunal khas di bawah Akta Anti Buli yang bakal diperkenalkan.
“Segala perincian akan dimuktamadkan selepas beberapa pindaan dilakukan terhadap undang-undang berkaitan termasuk Akta Komunikasi dan Multimedia, Kanun Keseksaan, serta penubuhan tribunal khas,” katanya.
Mengulas pertanyaan media berhubung kemungkinan pelaksanaan pendekatan seperti yang diguna pakai oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA), iaitu menempatkan bekas anggota tentera sebagai warden di asrama sekolah, Fahmi berkata perkara tersebut akan diteliti oleh jawatankuasa berkenaan.
“Kita serahkan sepenuhnya kepada jawatankuasa untuk meneliti cadangan tersebut.
“Namun, setakat ini usaha itu dilihat tidak menimbulkan sebarang masalah dan kita harap langkah ini akan membawa kesan yang positif,” katanya.
Justeru, katanya, Penubuhan jawatankuasa ini diharap dapat memperkukuh kerjasama antara kementerian dalam usaha membanteras budaya buli, seterusnya mewujudkan persekitaran yang lebih selamat dan harmoni untuk semua.







