KOTA KINABALU – Penjawat awam negeri Sabah menzahirkan rasa syukur atas Bantuan Khas Kewangan sebulan gaji dengan kadar minimum RM3,000 yang diumumkan menerusi Belanjawan Sabah 2025 di sini pada Jumaat.
Bagi seorang penjawat awam daripada Jabatan Perkhidmatan Pembentungan (JPP), Muhammad Khoirul Fitri, 27, berkata, perkara itu bukan sahaja meringankan beban kewangan, tetapi juga menunjukkan komitmen kerajaan dalam menjaga kebajikan rakyat, khususnya mereka yang berkhidmat dalam sektor awam.
“Saya amat bersyukur dengan pemberian ini, tetapi juga mengingatkan kami bahawa kerajaan sentiasa memandang serius kebajikan penjawat awam.
“Ia akan memberi dorongan tambahan untuk penjawat awam terus berkhidmat dengan penuh dedikasi dan komitmen,” katanya.
Penjawat awam Jabatan Perhutanan Sabah, Sulaiman Asmat, 59, berkata, pengumuman itu termasuk beberapa inisiatif berkenaan dapat membantu penjawat awam daripada segi kewangan sejajar dengan perkembangan ekonomi semasa.
“Alhamdulillah saya bersyukur dan gembira sebab bonus kali ini memang sangat bermakna kerana tidak lama saya akan berpencen dan merupakan penghargaan buat saya,” katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press.
Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun semasa pembentangan Belanjawan Sabah 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, bayaran bantuan khas kewangan ini melibatkan seramai 18,949 penjawat awam dengan implikasi kewangan sebanyak RM68.48 juta akan dibayar pada bulan Januari 2025.




