
KOTA KINABALU – Penjawat awam Sabah percaya Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang diperkenalkan Kerajaan Perpaduan memastikan kebajikan mereka sentiasa terpelihara.
Menurut Harman Salman, 30, keputusan kerajaan Madani melaksanakan SSPA sememangnya membawa kebaikan kepada semua penjawat awam dalam persekitaran dan situasi ekonomi negara pada masa kini.
“Saya percaya keputusan kerajaan ini telah difikirkan baik dari sisi positif dan negatifnya, maka kerana itu saya memutuskan untuk memilih SSPA, November lalu.
“Saya berterima kasih kepada Kerajaan Madani kerana mengambil keputusan untuk mengkaji semula sistem saraan penjawat awam setelah hampir dua dekad.
“Saya harapkan sebarang penambahbaikan akan turut diambil kira dari semasa ke semasa bagi memastikan SSPA menjadi sistem saraan yang terbaik pernah wujud dalam sejarah,” katanya ketika ditemui wartawan The Malaysia Press, pada Khamis.
Sementara itu, Muhammad Faiz Masnan, 29, turut senada SSPA memberi manfaat yang lebih banyak kepada mereka.
“Penambahbaikan struktur gaji SSPA juga memberi pelarasan gaji yang seimbang dan lebih baik, malah kami turut menerima kemudahan baharu seperti cuti tanpa rekod kelompok yang memperluas cuti separuh gaji.
“Saya memilih SSPA sebagai wadah perkhidmatan awam yang dilihat seiring dengan aspirasi membangun Malaysia Madani, kerana SSPA ini memberi kenaikan gaji yang lebih fleksibel dan efisien.
“Semoga pihak kerajaan dapat merealisasikan hasrat dan impian rakyat khususnya penjawat awam di bawah SSPA ini mengikut kesesuaian keperluan dan kehendak kita pada masa akan datang, terima kasih Kerajaan Malaysia,” katanya.




