
SRI AMAN – Majlis Jasamu Dikenang telah dianjurkan oleh Persatuan Tuai Rumah Daerah Sri Aman sebagai tanda penghargaan terhadap individu yang berkhidmat sebagai penjawat awam dan Ketua Masyarakat Ketua Kaum (KMKK) pada Sabtu lalu.
Majlis yang bertempat di Golden City Restaurant itu telah dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Pembangunan Bakat Sarawak merangkap ADUN Simanggang, Datuk Francis Harden Anak Hollis.
Francis menzahirkan ucapan tahniah kepada Persatuan Tuai Rumah Daerah Sri Aman kerana berjaya menganjurkan majlis berkenaan yang dihadiri seramai 850 orang terdiri daripada JKKK dan persatuan.
“Menubuhkan persatuan bukan sesuatu perkara yang boleh dibuat sesuka hati dan mempunyai tujuan yang jelas dengan garis panduan yang mempunyai matlamat.
“Sebagai sebuah persatuan yang memberi perkhidmatan kepada masyarakat terutama kepada ahli dan bekas ahli, persatuan perlu merancang dan dicatitkan ke dalam minit mesyuarat jenis bantuan yang bakal diberikan terutama melibatkan kewangan agar semua ahli mengambil maklum dan tidak mempersoalkan keputusan,” katanya semasa merasmikan majlis berkenaan.
Turut disampaikan Cek Minor Rural Project (MRP) berjumlah RM20,000 daripada ADUN N.32 Simanggang kepada Persatuan Tuai Rumah Daerah Sri Aman yang diterima oleh Tr Mathew Uning.
Turut hadir wakil Pegawai Daerah Sri Aman, Sandin Ajah; Timbalan Pengerusi Majlis Daerah Sri Aman, Cr Balean Suji Inggol; Timbalan Pengerusi Persatuan, Tr Mathew Uning; Pemanca Lee Siang Hua, Penghulu Mingging Sigan, Penghulu Tiong Chong Onn, Penghulu Andar Suntai, Penghulu Leonard Libau Anol, Penghulu Empaga Bailey dan Penghulu Augustine Nanta.