
TAWAU – Seorang penjaga stor dihadapkan ke Mahkamah Majistret pada Jumaat atas pertuduhan mengedar dadah jenis methamphetamine seberat 3,071.04 gram, 13 Mac lepas.
Tertuduh, Hadriansyah Sabran, 42, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa mengedar dadah berbahaya di kawasan stor penyimpanan kenderaan di Jalan Sin Onn pada pukul 7.30 malam.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) Akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup atau sebatan tidak kurang 12 sebatan.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 27 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai pendakwa, ASP Jeffrey Kadison manakala tertuduh tidak diwakili peguam.




