KUANTAN – Bagi meningkatkan keyakinan dalam kalangan usahawan, Yayasan Pahang dengan kerjasama pejabat penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Lepar menganjurkan bengkel ‘Aokmer Usahawan’, baru-baru ini.
Bengkel singkat itu disertai 40 peniaga kecil yang juga pengusaha atau vendor pelbagai jenis perniagaan.
Penyelaras DUN Lepar, Mustaqim Zakaria berkata, objektif utama penganjuran bengkel itu adalah bagi mendedahkan kepada peniaga dan vendor mengenai pengurusan perniagaan yang lebih sistematik.
“Menerusi perkongsian antara peserta dan penceramah, kita dapat mewujudkan satu ekosistem perniagaan yang lebih bernilai.
“Paling utama adalah ilmu dan pengetahuan baharu dapat ditimba oleh peserta yang mengambil bahagian dalam siri bengkel ini,” katanya.

Selain sesi perkongsian pengalaman, bengkel itu juga memberi maklumat lebih lengkap berkaitan cara mengendalikan makanan atau minuman yang selamat.
Peserta juga diperkenalkan dengan cara menggunakan dan mengendalikan aplikasi berasaskan kecerdasan buatan (AI) serta pemasaran menerusi media sosial.




