
TAWAU – Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 terhadap sebuah syarikat atas kesalahan mengilang untuk jualan garam beriodin yang tidak mematuhi standard ditetapkan di bawah Peraturan-peraturan Makanan 1985.
Pegawai Kesihatan Tawau, Dr Shameer Khan berkata, denda itu diputuskan hakim Don Stiwin Malanjum pada Khamis.
“Penguatkuasa Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau pada 2 April lalu telah mengambil sampel garam beriodin untuk tujuan analisis di makmal kesihatan awam.
“Pada 29 Mei, hasil analisis makmal mendapati garam yang diambil sampel itu mengandungi jumlah iodin yang rendah iaitu 12mg/kg,” katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Beliau berkata, berdasarkan Akta Peraturan Pemakanan 1985, Peraturan 285 (1A) menjelaskan bagi tujuan kesihatan awam jumlah kandungan iodin hendaklah tidak kurang 20mg/kg dan tidak melebihi 40mg/kg.
Sehubungan itu, pengilang berkenaan telah melanggar seksyen 13B(2)(e) Akta Makanan 1983 dibaca bersama peraturan 285 (1A) Akta Makanan 1985 yang memperuntukkan denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi tempoh lima tahun.
Mahkamah kemudian menjatuhkan denda RM10,000 terhadap pengilang terbabit sementara 23,000 kilogram garam yang disita akan dilupuskan.
Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hirman Hussain.