
JITRA – Tidak ada kelibat pekerja kanak- kanak atau remaja dilihat bekerja di tiga premis milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISB) Pekan Tanah Merah, Jitra di sini.
Bagaimanapun premis-premis GISB beroperasi seperti biasa dan kelihatan lengang manakala beberapa kakitangan GISB di pejabat urusan mereka di sini kelihatan sedang mengangkut beberapa kotak dipercayai produk makanan mereka.
Sementara itu, kakitangan di Bakeri Ikhwan juga dilihat sedang membakar roti baharu untuk dijual di kedai mereka.
“Selain untuk jualan roti ini juga hendak dihantar kepada orang yang sudah membuat tempahan pada setiap minggu,” kata seorang pekerja di kedai bakeri itu.
Sementara itu, seorang penduduk sekitar yang enggan dikenali pula berkata, dia sering membeli roti di kedai berkenaan, namun sejak tular mengenai kes ajaran sesat terbabit dia tidak lagi berkunjung ke premis itu.
“Dulu saya selalu beli juga roti dan kek di sini, sebab sedap tanpa was-was. Tapi lepas tular macam-macam cerita saya mula berhenti beli dan sungguh kecewa kerana tindakan mereka itu tidak sama dengan apa yang mereka pakai,” katanya.
Sebelum ini media melaporkan seramai 402 kanak-kanak dan remaja berusia setahun hingga 17 tahun diselamatkan dari 20 rumah amal dikendalikan kumpulan perniagaan itu yang dikatakan bermotif agama di sekitar Selangor (18) dan dua di Negeri Sembilan.