
PUTRAJAYA – Pengiktirafan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) terhadap komitmen Malaysia dalam memperkasa dasar kecerdasan buatan (AI) secara holisitik dilihat mampu membuka ruang buat negara menjadi penggerak utama dalam menetapkan piawaian dan etika teknologi, khususnya AI di peringkat Asean dan antarabangsa.
Pemerhati hubungan antarabangsa dan politik Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Ashikin Yusof berkata, kejayaan itu membolehkan Malaysia menampilkan diri sebagai hab teknologi serantau, yang mampu menarik pelaburan teknologi tinggi dan meningkatkan kedudukan negara dalam rundingan global.
Menurutnya, kelebihan itu mampu menjadikan Malaysia berupaya membina kepercayaan bersama negara kuasa besar yang menguasai teknologi, seperti Amerika Syarikat (AS) menerusi kerjasama syarikat berpengaruh yang mampu memperkukuh pengaruh geopolitik.
“Pengiktirafan Malaysia terhadap dasar AI oleh syarikat seperti Microsoft, Google, serta Majlis Perniagaan APEC Kanada, memberi pelbagai implikasi strategik dari sudut hubungan antarabangsa dan keselamatan nasional yang harus dioptimumkan bersama negara-negara yang sudah ke hadapan dalam bidang AI.
“Kejayaan itu merupakan peluang untuk memperluas pengaruh, dengan memainkan peranan sebagai peneraju teknologi di Asia Pasifik. Malaysia berpotensi memperluas pengaruhnya dalam agenda global seperti perubahan iklim, ekonomi digital, dan inovasi lestari, yang semuanya boleh dihubungkan kepada pembangunan AI,” katanya ketika dihubungi The Malaysia Press (TMP), hari ini.

Mengulas lanjut, Nur Ashikin berkata, mlalui dasar seperti Ekonomi Madani dan inisiatif dalam Belanjawan 2025, Malaysia berada pada kedudukan kukuh untuk memimpin pembangunan AI yang bukan sahaja canggih tetapi juga berlandaskan prinsip dan etika yang kukuh.
“AI sebagai teknologi yang berpotensi besar mengubah kehidupan manusia memerlukan perhatian serius dari segi etika dan tanggungjawab. Dengan adanya Pejabat Kecerdasan Buatan Kebangsaan (NAIO) dan Jaringan Keselamatan AI Asean, Malaysia menjadi contoh bagi penggunaan AI secara beretika.
‘Kepimpinan Malaysia dalam usaha menggalakkan Asean untuk menitikberatkan aspek keselamatan, keadilan, dan etika dalam AI, menjadikan teknologi ini penyumbang positif kepada pembangunan dan kesejahteraan masyarakat serantau.
“Pembangunan AI yang bertanggungjawab bukan sahaja memastikan manfaat teknologi yang lebih luas tetapi juga mencerminkan komitmen rantau ini terhadap kemakmuran bersama,” katanya.
Dalam pada itu, Nur Ashikin berpandangan, terdapat keperluan buat Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memastikan bahawa dasar AI yang dilaksana Kerajaan Madani menjadi aset strategik dalam agenda pembangunan tanpa mengorbankan kedaulatan dan keselamatan negara.

“Cabaran seperti risiko keselamatan siber, kedaulatan data, dan persaingan global memerlukan pendekatan yang lebih holistik. Keperluan Malaysia di bawah pendekatan yang diambil Kerajaan Madani mengimbangi kerjasama antarabangsa dengan perlindungan kepentingan nasional.
“Walaupun kerjasama dengan gergasi teknologi memberi faedah besar, ia juga menimbulkan risiko kebergantungan ekonomi dan teknikal terhadap negara maju yang akan menghadkan kebebasan Malaysia dalam membuat keputusan strategik, khususnya jika terdapat konflik kepentingan atau tekanan geopolitik,” katanya.
Jelasnya, jika dibandingkan dengan landskap global, perniagaan di Malaysia masih di peringkat awal mengaplikasikan amalan keselamatan siber yang lasak, selain kesedaran di kalangan pengguna tentang amalan terbaik mengenai keselamatan siber.
Dalam era pendigitalan, Nur Ashikin menegaskan dasar AI yang dibawa harus dilengkapi dengan perlindungan data yang ketat, susulan ia merupakan kunci untuk mempertahankan kedaulatan siber.
“Keperluan Malaysia memastikan kawalan penuh ke atas data yang dihasilkan dalam negara, termasuk data peribadi dan industri berikutan data merupakan aset strategik. Dengan peningkatan integrasi teknologi AI, risiko serangan siber juga meningkat.
“Infrastruktur kritikal seperti sektor kewangan, tenaga, dan komunikasi mungkin terdedah kepada ancaman manipulasi teknologi oleh aktor negara atau bukan negara. Malaysia perlu melabur secara signifikan dalam membangunkan sistem keselamatan siber yang dapat menangkis ancaman teknologi yang sedang berkembang dengan pesat,” katanya.





