
PUTRAJAYA – Penggantungan Mohd Effendy Abdul Ghani sebagai Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) tidak sah ekoran melanggar syarat-syarat yang ditetapkan Mahkamah Tinggi Shah Alam.
Jawatankuasa Kerja MTUC memaklumkan, tindakan tersebut juga tidak selari dengan peruntukan undang-undang dan menunjukkan ketidakpatuhan terhadap keputusan mahkamah yang telah dikeluarkan.
“Justeru itu. MTUC telah dimaklumkan oleh RoS untuk mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi memastikan semua pihak mematuhi arahan mahkamah.
“Oleh demikian, tindakan Timbalan Presiden MTUC, Matkar Siwang menggunakan jawatan Pemangku Presiden adalah tidak wajar memandangkan Mohd Effendy masih merupakan Presiden MTUC yang sah sehingga pemilihan akan datang,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press, hari ini.
Dalam pada itu, jawatankuasa tersebut turut memaklumkan bahawa bekas Setiausaha Agung MTUC, Kamarul Baharin Mansor bukan lagi seorang pekerja yang layak untuk menganggotai kesatuan tersebut.
Oleh kerana itu, jelasnya, status keanggotaan Kamarul terbatal secara rasmi berdasarkan pemakluman daripada Jabatal Hal Ehwal Kesatuan Sekerja (JHEKS) yang dimaklumkan oleh RoS melalui surat pemakluman tambahan.
“Berdasarkan surat pengesahan RoS, tiada komunikasi rasmi menggunakan jawatan Setiausaha Agung (SUA) boleh dilakukan kerana terdapat kekosongan pada jawatan tersebut. Selaras dengan pemakluman perintah mahkamah, pengisian kekosongan jawatan yang kini dikosongkan atau yang telah dibatalkan keahliannya adalah tidak dibenarkan.
“Sebarang usaha untuk mengisi mana-mana jawatan pada waktu ini dianggap sebagai keputusan dasar yang melanggar perintah mahkamah tersebut. Sementara menunggu arahan atau nasihat lanjut daripada pihak berkuasa yang berkenaan, Presiden bersama Jawatankuasa yang diberi kuasa akan menjalankan tugas-tugas pentadbiran MTUC,” jelasnya.
Katanya, MTUC kini sedang meneliti dan mengambil tindakan susulan yang wajar bagi memastikan semua keputusan yang diambil adalah selaras dengan perlembagaannya dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Kami juga ingin menegaskan bahawa segala tindakan yang diambil bertujuan untuk mengekalkan integriti organisasi ini serta memastikan hak dan kebajikan ahli–ahli MTUC terus diperjuangkan.
“MTUC akan berusaha secepat mungkin untuk mengadakan pemilihan baru bagi membolehkan organisasi ini kembali ke landasan yang betul setelah kes di Mahkamah Rayuan diselesaikan nanti,” katanya.
Sementara itu, Mohd Effendy ketika dihubungi The Malaysia Press meluahkan kekecewaan apabila terdapat di kalangan ahli yang sewenang-wenangnya menggunakan MTUC dalam memberi maklumat kepada pengamal media.
“Ada kenyataan menggunakan Matkar Siwang sebagai Pemangku Presiden, ini adalah tidak betul kerana jawatannya hanyalah sebagai Timbalan Presiden,” katanya ringkas.