
KUCHING – Sarawak mengingatkan semua penganjur acara hiburan supaya memastikan kandungan program selari dengan sensitiviti budaya tempatan dan adab masyarakat, terutamanya ketika menganjurkan acara awam berskala besar.
Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak tidak menghalang penganjuran sebarang acara hiburan atau sambutan ambang tahun baharu, namun pengisiannya perlu bersesuaian agar tidak mencetuskan keresahan awam.
“Hendak mengadakan sambutan ambang tahun baharu (countdown) tiada masalah, persembahan nyanyian juga tiada masalah.
“Tetapi jangan jadikan keraian sebegini sebagai platform mempromosikan budaya tidak sihat yang bercanggah dengan nilai-nilai tempatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan Majlis Penutupan Festival Pertukaran Wushu Dunia 2025 di Perkampungan Sukan Sarawak, pada malam Ahad.
Mengulas lanjut, Abdul Karim merujuk kepada satu acara hiburan di Miri baru-baru ini yang tular di media sosial sehingga menimbulkan kegusaran masyarakat serta bantahan daripada beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Tegas beliau, walaupun sesuatu acara itu tidak menerima peruntukan atau sokongan kerajaan, penganjur tetap memikul tanggungjawab untuk mematuhi undang-undang serta menghormati sensitiviti budaya dan agama.
“Penganjur tidak boleh beranggapan mereka bebas membawa masuk sebarang bentuk persembahan sesuka hati hanya kerana tidak menggunakan dana kerajaan. Kerajaan masih mempunyai kuasa kawal selia kerana kita mempunyai undang-undang yang perlu dipatuhi,” jelasnya.
Menurutnya lagi, Majlis Bandaraya Miri (MBM) telah memanggil pihak penganjur untuk berbincang dan difahamkan segmen persembahan yang mencetuskan kontroversi tersebut akan dibatalkan.
Sehubungan itu, Abdul Karim menyarankan agar pihak berkuasa tempatan (PBT), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi berkaitan melakukan semakan ketat terhadap kandungan program sebelum meluluskan permit bagi mengelakkan keharmonian masyarakat terjejas.
Beliau berharap insiden tersebut menjadi peringatan kepada semua penganjur agar lebih bertanggungjawab dan peka demi memelihara keharmonian serta nilai murni masyarakat majmuk di Sarawak.
Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS)




