
MIRI – Sektor pelancongan di sini menerima suntikan positif apabila kapal persiaran berbendera Australia, Coral Geographer membuat persinggahan berjadual di perairan Miri pada Isnin.
Persinggahan itu merupakan sebahagian daripada itinerari pelayaran serantau kapal berkenaan yang merangkumi Australia, Filipina, Brunei, Borneo dan berakhir di Singapura sebelum kembali semula ke Australia.
Membawa seramai 117 individu yang terdiri daripada 81 penumpang dan 36 kru, kehadiran kapal persiaran ini memberi peluang kepada pelancong antarabangsa untuk meneroka keindahan alam semula jadi, warisan budaya serta keramahan penduduk tempatan di bandar raya ini.
Ketibaan Coral Geographer disambut oleh Setiausaha SUPP DUN Piasau, Kaunselor Kelvin Chia Kah Leong yang mewakili Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Sebastian Ting Chiew Yew.
Turut hadir menyambut ketibaan tetamu ialah Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Miri (LPM), Serawa Budol serta wakil agensi kerajaan yang berkaitan.
LPM dengan kerjasama pelbagai agensi telah menyelaras urusan ketibaan bagi memastikan kelancaran proses pelepasan serta pemindahan penumpang.
Memandangkan kapal berkenaan berlabuh di luar pesisir, kesemua penumpang dan kru dipindahkan menggunakan teksi air ke Terminal Pertukaran Kru LPM sebelum dibawa mengikuti lawatan bandar dan ekskursi yang telah dijadualkan.
Persinggahan kapal mewah ini dilihat mencerminkan peningkatan profil Miri sebagai destinasi baharu yang berpotensi besar dalam sektor pelancongan pelayaran dan ekspedisi antarabangsa.
Selain memberi impak ekonomi kepada industri tempatan, kehadiran pelancong luar ini turut menyokong usaha mempromosikan Miri di peta dunia sebagai destinasi unik yang dilengkapi infrastruktur moden.
Pihak berkuasa tempatan dan pemain industri pelancongan menyambut baik perkembangan ini dan komited untuk terus menyokong pembangunan pelancongan pelayaran mampan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi Miri.




