
SANDAKAN – Penduduk Pulau Berhala kini boleh menarik nafas lega apabila mereka mula menikmati kemudahan air minuman bersih melalui pemasangan sistem ‘Self-Powered and Mobile Drinking Water System’ antara satu daripada hanya 10 unit yang dilaksanakan di seluruh negeri Sabah.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Papat, Datuk Frankie Poon Ming Fung berkata, inisiatif itu adalah hasil usaha berterusan bagi memastikan komuniti di kawasan terpencil tidak ketinggalan dalam menikmati kemudahan asas berkualiti.
“Sebagai wakil rakyat kawasan Tanjong Papat, saya sentiasa memegang prinsip bahawa setiap penduduk sama ada di tanah besar mahupun di pulau terpencil seperti Pulau Berhala berhak menikmati kemudahan asas yang mencukupi, selamat dan berkualiti.
“Maka, apabila saya dimaklumkan oleh pihak Jetama mengenai potensi sistem air minuman mudah alih ini, saya terus berusaha untuk memastikan Pulau Berhala tersenarai sebagai salah satu penerima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Pelancaran ‘Self-Powered and Mobile Drinking Water System’ di
Kampung Pulau Berhala Laut, Sandakan, di sini pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jetama, Datuk Juhari Janan; Presiden Majlis Perbandaran Sandakan (MPS), Walter Kinson dan Ketua Pegawai Eksekutif Jetama Sdn Bhd, Datuk Ahmad Naim Uddang.
Menurut beliau, sistem itu mampu membekalkan air bersih kepada sekitar 5,000 hingga 7,500L penduduk dengan berdasarkan penggunaan 4L (liter) sehingga 6L setiap orang menjadikannya penyelesaian mampan kepada isu bekalan air bersih di pulau berkenaan.
Tambahnya lagi, walaupun sistem utama dipasang di Blok A, pihaknya telah meminta Jetama untuk turut memasang tangki tambahan di Blok B dan Blok C bagi memastikan pengagihan air lebih seimbang dan menyeluruh.
Dalam perkembangan berkaitan, Frankie turut mengumumkan pembinaan sebuah struktur bumbung pelbagai guna di Pulau Berhala pada tahun ini yang akan digunakan untuk aktiviti komuniti seperti sukan, perayaan, majlis perkahwinan dan ceramah kesihatan.
“Usaha memperkenalkan teknologi baharu seperti sistem air solar ini dan membina kemudahan asas adalah sebahagian daripada komitmen saya untuk membawa kemajuan yang adil dan inklusif kepada semua kawasan, termasuk komuniti pulau,” katanya lagi.

Frankie menyeru penduduk agar menjaga kemudahan ini dengan sebaiknya serta melaporkan sebarang kerosakan kepada pihak berkuasa bagi memastikan ketahanannya untuk jangka panjang.
Sementara itu, Pengerusi Jetama Water Sdn. Bhd, Liau Fui Fui berkata, inisiatif membawa sistem itu ke Sabah adalah hasil usaha proaktif syarikat yang mahu memastikan rakyat, khususnya di kawasan terpencil, mendapat bekalan air bersih dan stabil.
“Kami telah membuat kajian terhadap teknologi luar negara, termasuk dari China dan akhirnya memilih sistem dari negara itu kerana ia lebih berkesan dan menjimatkan kos,” jelasnya.
Katanya, sistem yang beroperasi menggunakan jana kuasa sendiri itu membolehkan penapisan dan pembekalan air bersih tanpa memerlukan sambungan grid elektrik konvensional.
Menurut Fui Fui, kos keseluruhan bagi satu sistem termasuk pemasangan dan logistik dianggarkan sekitar RM1.3 juta.
“Beberapa tempat yang memang sudah diketahui dan dikenal pasti. Cuma memang banyak lagi unsur yang perlu dipertimbangkan seperti sumber air itu, ada mata air ataupun air itu cukup bersih untuk ditapis dan sebagainya.
“Selain itu, pihak kami masih menjalankan kajian lanjut bagi mengenal pasti lokasi-lokasi lain yang berpotensi untuk pemasangan baki sembilan sistem lagi,” ujarnya.
Dalam pada itu, pihak Jetama turut menyasarkan untuk melaksanakan inisiatif jana kuasa hijau, termasuk perancangan membekalkan sekurang-kurangnya satu lampu bagi setiap rumah di Pulau Berhala sebagai langkah jangka panjang ke arah peningkatan kualiti hidup penduduk.






