GEORGE TOWN – Sebanyak 99 peratus daripada lebih 16,000 responden menyatakan sokongan terhadap cadangan sambungan jajaran Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara, sekali gus mencerminkan penerimaan tinggi rakyat terhadap pembangunan sistem pengangkutan awam itu.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, maklum balas positif tersebut diperoleh menerusi sesi pemeriksaan awam yang dijalankan bagi sambungan jajaran projek berkenaan.
Menurutnya, pemilihan Tapak Pesta Sungai Nibong sebagai lokasi depoh dibuat selepas melalui penilaian teliti oleh Malaysia Rapid Transit Corporation (MRT Corp) dengan mengambil kira keperluan operasi, penggunaan tanah serta perancangan pembangunan masa depan.
“Pada peringkat awal, jajaran Laluan Mutiara hanya tertumpu di kawasan pulau dengan Komtar sebagai terminal akhir namun ia kemudiannya diperluaskan sehingga ke Penang Sentral di Butterworth.
“Peluasan ini dibuat secara strategik bagi memperkukuh jaringan pengangkutan antara pulau dan tanah besar, menyokong pembangunan lebih seimbang serta mengurangkan kesesakan lalu lintas,” katanya ketika berucap pada Majlis Simbolik Penyerahan Tapak Pesta Sungai Nibong antara kerajaan Pulau Pinang dan MRT Corp di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow; Pegawai Kewangan Pulau Pinang, Datuk Zairi Mat Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim.
Anthony berkata, selaras dengan peluasan itu, penyediaan depoh tambahan menjadi keperluan bagi memastikan sistem LRT dapat beroperasi secara cekap dan konsisten di sepanjang laluan.
Katanya, lokasi tapak yang berada berhampiran titik tengah jajaran Laluan Mutiara membolehkan operasi tren dilaksanakan dengan lebih efisien selain memudahkan pengurusan sistem dan memberi fleksibiliti dalam penyusunan perkhidmatan.
“Depoh ini juga akan menyokong operasi depoh utama di kawasan Pulau Reklamasi Selatan (PSR-A) selain berfungsi sebagai kawasan penyimpanan tren dan memastikan kesiapsiagaan operasi harian,” ujarnya.
Dalam pada itu, Anthony berkata, kerajaan turut mengambil kira nilai sentimental Tapak Pesta Sungai Nibong yang sinonim dengan Pesta Pulau Pinang sejak 1966.
Sehubungan itu, katanya, MRT Corp telah meneliti semula reka bentuk depoh bagi mengurangkan penggunaan tanah kepada kira-kira 4.65 hektar sahaja.
“Baki kawasan akan terus dimanfaatkan untuk kegunaan komuniti termasuk perancangan menaik taraf tapak pesta serta pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang menyokong aktiviti komuniti dan ekonomi setempat,” katanya.
Jelas beliau, pendekatan tersebut selari dengan model pembangunan bandar moden seperti di Hong Kong yang mengintegrasikan depoh dengan pembangunan kediaman dan komersial.
Mengulas lanjut, Anthony merakamkan penghargaan kepada kerajaan Pulau Pinang atas kerjasama erat termasuk keputusan memperuntukkan tanah tanpa kos bagi menjayakan projek itu.
Katanya, kerjasama antara kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan semua pihak berkepentingan merupakan faktor penting dalam memastikan projek dapat dilaksanakan dengan lancar.
Dalam perkembangan sama, beliau memaklumkan proses pengambilan tanah bagi Segmen 1 melibatkan jajaran Permatang Damar Laut ke Macallum menunjukkan kemajuan apabila 61 lot tanah persendirian telah selesai menjalani proses pendengaran di bawah Akta Pengambilan Tanah 1960.
“Sehingga kini, sebanyak 41 Borang H dikeluarkan dan bayaran pampasan telah diselesaikan bagi 39 lot tanah manakala 14 Borang K turut dikeluarkan bagi tujuan serahan tapak kepada kontraktor yang dijangka selesai menjelang Jun 2026.
“Bagi Segmen 2 melibatkan jajaran Macallum ke Penang Sentral, sebanyak 38 lot tanah persendirian telah dikenal pasti untuk pengambilan tanah dengan proses pewartaan dijangka dibuat pada Julai 2026 dan kemasukan tapak menjelang 2027,” ujarnya.
Anthony berkata, kerja-kerja awal projek telah dimulakan di kawasan yang telah diperoleh termasuk pembinaan tiang jejambat di beberapa lokasi.
“Kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan bersama MRT Corp kekal komited memastikan projek berimpak tinggi itu dilaksanakan mengikut jadual serta mematuhi piawaian keselamatan dan kejuruteraan tertinggi demi manfaat jangka panjang rakyat Pulau Pinang,” katanya.
LRT Laluan Mutiara yang memulakan pembinaan pada 2025 dan dijangka beroperasi pada Disember 2031 akan merentasi kira-kira 29.67 kilometer dengan 20 stesen serta dua stesen sementara.
Sebagai sistem transit metro bersepadu pertama di utara, ia direka untuk meningkatkan hubungan bahagian pulau dan tanah besar, sekali gus mengurangkan kesesakan lalu lintas dan meningkatkan akses.



