KANGAR – Penduduk di beberapa kawasan berisiko banjir diminta bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir susulan jangkaan fenomena air pasang besar hujung minggu ini.
Antara kawasan yang dijangka terjejas adalah Kampung Bakau, Kampung Tok Kandang, Kampung Kota Keran dan Kampung Repoh di daerah Kangar.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Perlis, Lt Kol (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, fenomena air pasang besar itu dijangka berlaku antara Jumaat hingga Ahad ini dengan paras air mencecah ketinggian 3.7 meter.
“Bacaan paras air tertinggi diramalkan pada Sabtu, 19 Oktober, sekitar jam 1.15 pagi dengan ketinggian air laut mencecah 3.7 meter,” katanya.
Pada Jumaat, paras air dijangka mencapai 3.6 meter sekitar jam 12.42 tengah malam, manakala pada Ahad, paras air dijangka mencecah 3.6 meter sekitar jam 1.49 pagi.
Menurut beliau, seramai 90 anggota APM Perlis telah diletakkan dalam keadaan siap siaga bagi menghadapi kemungkinan kejadian banjir itu.
Beliau turut memaklumkan bahawa aset seperti lori, kenderaan pelbagai guna dan ambulans telah disediakan untuk sebarang kecemasan.
Tambahnya, pihaknya turut menumpukan kepada penyediaan pusat pemindahan sementara (PPS) berkapasiti besar seperti di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Perlis, Dewan Kolej Vokasional Kangar dan Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Arau.





