
TEBEDU – Pelaksanaan projek jalan pertanian bernilai RM3.3 juta di Kampung Gahat Mawang di sini, dijangka mampu melonjakkan taraf sosioekonomi penduduk setempat, khususnya golongan petani.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebedu, Simon Sinang berkata, projek di bawah peruntukan Greater Kuching Coordinated Development Agency (GKCDA) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebedu itu telah dimulakan secara rasmi menerusi satu majlis pecah tanah, pada Selasa.
Menurut beliau, kemudahan infrastruktur luar bandar itu akan memberi kelegaan besar kepada penduduk dalam memudahkan urusan pengangkutan hasil tanaman.
“Langkah ini bukan sahaja mempercepatkan akses ke kawasan pertanian, malah dapat mengurangkan kos logistik, sekali gus meningkatkan produktiviti dan sumber pendapatan petani kita.
“Pelaksanaan projek ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan dalam memperkasa pembangunan infrastruktur luar bandar demi kesejahteraan rakyat, khususnya di kawasan DUN Tebedu,” katanya.
Terdahulu, taklimat berhubung status pelaksanaan projek tersebut telah disampaikan oleh Jurutera Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sarawak, Dayang Nurul selaku wakil agensi pelaksana.
Beliau memaklumkan, pembinaan jalan pertanian baharu itu bakal melibatkan lima jajaran utama dengan jarak keseluruhan mencecah hampir 5.4 kilometer (km).
Jelasnya, lima jajaran tersebut merangkumi Jalan Tauh/Sungai Arik sepanjang 1.406km; Jalan Balak Lama (1.940km); Jalan Kajuh Sibok (640 meter); Jalan Kajuh Sideah (983 meter) dan Jalan B (436 meter).
Turut hadir memeriahkan majlis tersebut ialah Pegawai Daerah Tebedu, Gerald George Entigar serta wakil GKCDA, Claire.
Foto: Facebook YB Dr Simon Dinang







