
LAHAD DATU – Pendekatan ‘Whole Of Government’ dalam Sambutan Hari Raya MADANI Lahad Datu meriah dengan kehadiran dianggarkan 4,000 masyarakat pelbagai latar belakang dan kaum daerah ini.
Ketua Pegawai Eksekutif ESSCOM, Datuk Dr. Jamaluddin Mohd. Ali berkata, koordinasi pelbagai agensi di bawah kerangka Malaysia MADANI ini menunjukkan usaha sama mencapai satu matlamat yang ditetapkan.
“Ini adalah manifestasi pendekatan ‘Whole of Government’ yang diperkenalkan oleh Kerajaan Madani dan pertama kali diadakan dengan kerjasama pelbagai jabatan kerajaan serta swasta dan juga syarikat serta badan bukan kerajaan (NGO) di Lahad Datu.
“Jadi Alhamdulillah hari ini saya nampak amat meriah dan sambutan yang amat menggalakkan daripada komuniti di Lahad Datu,” katanya kepada media pada Sambutan Hari Raya MADANI Masyarakat Lahad Datu bersama Menteri Dalam Negeri dan Ketua Menteri Sabah di Dewan Sri Perdana Lahad Datu, pada Sabtu.

Majlis itu diwakili Timbalan Ketua Menteri II yang juga Menteri kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Dr. Joachim Gunsalam serta Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) Kementerian Dalam Negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman.
Turut hadir, Komander ESSCOM, DCP Datuk Victor B Sanjos; Pengarah Penjara Lahad Datu, Penolong Kanan Komisioner, Kalbin Mohd Said; Pegawai Daerah Lahad Datu, Firuz Idzualdeen @ Benetty Mohd Dzul dan pemimpin masyarakat Lahad Datu.
Pada majlis itu, Joachim turut menyampaikan duit raya kepada 50 anak yatim, OKU dan asnaf.
Majlis bermula seawal 10 pagi hingga 5 petang itu menyediakan 42 reruai dari pelbagai agensi serta akan strategik yang menyediakan aneka juadah Hari Raya.




