
BELURAN – Pendekatan pelbagai disiplin yang diterapkan dalam Program Bantuan IUI Advokasi Infertiliti (BuAI) memberi manfaat besar kepada komuniti, khususnya kaum wanita dalam memperkasakan diri dan keluarga.
Isteri Ketua Menteri Sabah merangkap Yang Dipertua Pertubuhan Muafakat Titipan Amal Isteri Wakil Rakyat Gabungan Rakyat Sabah (Mutiara GRS), Datin Seri Juliah Salag berkata, program berimpak tinggi itu bukan sahaja menekankan aspek kesihatan wanita tetapi turut meliputi pengurusan kewangan keluarga, terapi minda, latihan asas rawatan ‘resusitasi kardiopulmonari ‘(CPR) serta pendedahan awal menghadapi kebakaran.
“Usaha semua pihak yang menjayakan program ini mencerminkan semangat kolaboratif yang harus dijadikan contoh dalam memacu agenda pemerkasaan komuniti.
“Pendekatan menyeluruh ini selaras dengan aspirasi Dasar Keluarga Negara yang menekankan kesejahteraan fizikal, mental dan sosial sebagai tonggak masyarakat Madani,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Santuni Kasih: Dari Keluarga untuk Komuniti sempena Program BuAI di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Labuk, bertempat di Dewan Masyarakat Beluran, di sini pada Selasa.

Tambah Juliah, melalui program itu para peserta mendapat pelbagai manfaat seperti ilmu kesihatan berkaitan kanser, kefahaman terhadap bantuan subsidi kerajaan, serta kemahiran asas menyelamat seperti CPR.
“Saya berharap program sebegini diperluaskan ke seluruh daerah dan dijadikan model intervensi sosial yang berimpak tinggi.
“Semoga para peserta bukan hanya membawa pulang ilmu, tetapi juga semangat untuk menyantuni keluarga dan masyarakat dengan lebih prihatin dan bertanggungjawab,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menghargai penglibatan aktif pelbagai agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang turut menyumbang dalam menjayakan inisiatif tersebut.
“Kolaborasi seperti ini penting dalam menyokong inisiatif memperkasa serta mensejahterakan rakyat Sabah.
“Saya ucapkan tahniah kepada Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) Sabah atas jalinan kerjasama dalam pelaksanaan program ini yang kini memasuki tahun keempat.
“Pihak Mutiara GRS amat menghargai usaha ini sebagai wadah menyantuni rakyat secara bersama,” katanya.
Sementara itu, Pengarah LPPKN Negeri Sabah Shahriah Saharom berkata, bukan sahaja menjalankan program IUI tetapi juga mengadakan pelbagai program kekeluargaan dan keibubapaan yang berpandukan modul-modul diterbitkan oleh LPPKN.
Katanya, pelbagai inisiatif turut disediakan seperti pemeriksaan kesihatan untuk wanita, kursus kesihatan reproduktif, ujian saringan virus papiloma manusia (HPV) DNA bagi pengesanan awal kanser serviks serta ujian mammogram untuk kanser payudara.

“Saringan kesejahteraan wanita, kaunseling kekeluargaan dan program kesedaran untuk remaja turut dijalankan.
“Tahun ini, buat julung kalinya kita adakan juga program edifikasi kesuburan termasuk ceramah tentang isu kesuburan satu pendekatan baharu yang diperkenalkan di Sabah dan dimulakan di daerah Beluran ini,” tambah beliau.




