TAPAH – Kestabilan politik Sarawak wajar dicontohi walaupun negeri itu memiliki kepelbagaian masyarakat etnik yang lebih kompleks berbanding di Semenanjung.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, mampu bekerjasama dengan masyarakat berbilang kaum adalah ciri penting untuk memilih pemimpin bagi menerajui negara ini.
“Politik di Sarawak begitu stabil sedangkan wilayah berkenaan memiliki kepelbagaian etnik yang lebih kompleks berbanding kita (Semenanjung). Pelbagai kaum di sana (Sarawak) dan masing-masing Bumiputera, tetapi mereka boleh jaga wilayah itu dengan baik dan membangunkan ekonomi dengan bagus.
“Ini antara contoh negeri yang perlu dipelajari,” katanya kepada media selepas melakukan pertemuan bersama jentera Barisan Nasional (BN) dan masyarakat di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Rahmat sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, pada Selasa.
Mengulas lanjut, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Wilayah Persekutuan itu berkata, keadaan tersebut perlu mengambil kira komposisi masyarakat majmuk dengan ragam yang pelbagai.
Johari yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi menegaskan, negara bakal berdepan kesukaran untuk melaksanakan agenda pembangunan, jika pemimpin menerajui negara tidak mampu bekerjasama dengan masyarakat berbilang kaum.
“Kalau kita tak boleh duduk dengan masyarakat majmuk atau mengambil mereka (golongan bukan Melayu) sebagai antara tanggungjawab (pemimpin), maka sukar untuk kita membangunkan negara.
“BN memiliki rekod prestasi membangunkan negara selama 60 tahun melalui konsep masyarakat majmuk, ‘along the way’ ada pemimpin, termasuk saya buat silap dan terlepas pandang.
“Kita kena sentiasa berubah dan memperbaiki diri, masyarakat akan lihat sama ada kita berpura-pura atau sebaliknya. Kalau benar-benar akui kesilapan dan mahu ubah kaedah melayan masyarakat, mereka pasti terima kita balik,” katanya.
PRK Ayer Kuning yang diadakan susulan kematian Ishsam akibat serangan jantung pada 22 Februari, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN), Dr Mohamad Yusri Bakir menentang calon Perikatan Nasional (PN), Abd Muhaimin Malek dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) Bawani KS.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 26 April ini, manakala pengundian awal akan diadakan pada 22 April.
Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari, bermula selepas pengisytiharan calon hingga jam 11.59 malam 25 April ini.




