
KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO menzahirkan rasa teruja dengan pengumuman Ketua Pemuda UMNO Kelantan, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Nenggiri.
Ketuanya, Dr Akmal Saleh yakin Azmawi mampu memberi khidmat terbaik kepada penduduk Nenggiri jika dipilih sebagai wakil rakyat pada PRK itu.
“Anak tempatan, berpendidikan, berbudi bahasa dan saya pasti dan yakin sahabat saya ini jika dipilih sebagai wakil rakyat Nenggiri akan menjadi seperti YB Mohd Noor Helmy versi Kelate.
“Jika calon yang datangnya dari Pemuda, saya jamin InsyaAllah kualiti perkhidmatannya juga sangat tip top. Itu jaminan saya!
“Apa lagi, Nenggiri undi Mawi deh,” tulis Akmal menerusi hantaran di Facebooknya.
Semalam UMNO Kelantan mengumumkan Mohd Azmawi dipilih sebagai calon yang akan bertanding pada PRK DUN Nenggiri bulan depan.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata pemilihan Mohd Azmawi, 38, diputuskan Presiden parti, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan mendapat sokongan daripada kepemimpinan UMNO Gua Musang serta akar umbi.