
PUTRAJAYA – Seorang pemimpin kanan Pas didakwa mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membawa parti itu menyertai Kerajaan Perpaduan.
Memetik laporan Malaysia Post, sumber akhbar itu memaklumkan pertemuan membabitkan pemimpin Pas berkenaan bersama Anwar telah berlaku beberapa kali dan terbaharu ia berlangsung pada bulan ini.
“Saya boleh katakan pemimpin Pas berkenaan adalah dalam kalangan ‘top five’ dan telah beberapa kali mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri.
“Pertemuan itu bertujuan untuk membincangkan penyertaan Pas ke dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Anwar.
“Anda boleh tanyakan Perdana Menteri mengenai perkara ini, apakah benar beliau ada bertemu dengan pemimpin Pas berkenaan.
“Kali terakhir pertemuan itu berlangsung pada bulan ini (Julai),” kata sumber kepada Malaysia Post.
Pada Mei 2023, Anwar menyatakan harapan agar hubungan silaturahim dengan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dapat dijalinkan semula dalam usaha membina semula negara dan mengelak daripada kegagalan.
Menurut laporan Malaysiakini, pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin berkata, hasrat murni perdana menteri itu dibuat pada pertemuan bersama dua anak bekas menteri besar Kelantan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan wujud perbincangan antara pemimpin Pas dan UMNO bagi membincangkan kerjasama mendepani Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Perkara itu didedahkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mendedahkan beberapa siri pertemuan bersama pemimpin UMNO kerap berlaku ketika ini.
Pertemuan itu dakwanya dibuat secara tidak formal membabitkan pemimpin utama kedua-dua parti sekali gus dilihat mempunyai harapan dalam menyatukan kembali undi Melayu yang kini berpecah teruk.
Bagaimanapun Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi menafikan laporan berkenaan.
Menjawab penafian Asyraf, Ahmad Fadhli dalam hantaran di Facebooknya pada Isnin mengakui perbincangan itu hanyalah pertemuan biasa di majlis kenduri serta di Parlimen.
Pada 8 Julai lalu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu tidak akan bekerjasama dengan Pas selagi Abdul Hadi menjadi presiden parti itu.
Sementara itu sumber berkata, episod pengkhianatan Pas terhadap UMNO sebelum ini dijangka akan bermula kembali.
“Sebelum ini Pas lakukannya terhadap UMNO ketika mereka bekerjasama dalam Muafakat Nasional (MN).
“Secara diam-diam Pas membentuk Perikatan Nasional (PN) dengan Bersatu,” katanya lagi.