KOTA KINABALU – Pemilihan PKR Sabah kali ini menyaksikan beberapa keputusan menarik, termasuk kejayaan Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud mempertahankan jawatan Ketua Cabang Kota Belud dalam persaingan tiga penjuru.
Mustapha mencatat kemenangan selesa dengan meraih 1,405 undi, menewaskan Modily Banggali (100 undi) dan Azharue Jenaim (67 undi).
Naib Ketua Cabang Kota Belud turut kekal milik Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (JKOM) Sabah, Milus Alu@Abd Wahab yang memperoleh 1,032 undi, menewaskan Azrul Linggam (383 undi) dan Rosli Andalan (136 undi).
Jawatan Timbalan Ketua Cabang terus dipertahankan oleh Panil Kota dengan 820 undi, manakala Alice Taisin kekal sebagai Ketua Wanita Cabang selepas meraih 368 undi.
Sementara itu, Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang menampilkan wajah baharu apabila Jeffole Jai dipilih sebagai ketua selepas meraih 154 undi.
Keputusan rasmi pemilihan itu disahkan menerusi Borang 14 oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa.
Dalam perkembangan lain, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew gagal mempertahankan jawatan Ketua Cabang Kota Kinabalu. Beliau tewas kepada pencabarnya, Lee Li Mei yang memperoleh 1,381 undi berbanding Christina dengan 1,157 undi.

Sementara itu, Setiausaha PKR Sabah, Sazalye Donol Abdullah turut kecundang dalam saingan Ketua Cabang Kota Marudu, apabila ditewaskan oleh Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil yang mencatat 1,031 undi. Sazalye hanya meraih 548 undi dalam pertandingan empat penjuru.
Beberapa pemimpin lain turut berjaya mempertahankan jawatan masing-masing termasuk Datuk Peto Galim yang kekal sebagai Ketua Cabang Sepanggar dengan 607 undi, menewaskan Joseph Linggian@Joseph Chong (178 undi).
Bekas Pengerusi PKR Sabah, Datuk Dr Sangkar Rasam mengekalkan jawatan Ketua Cabang Keningau selepas menewaskan adiknya, Antakor Rasam.
Di Pensiangan, Datin Rufinah Pengeran merampas jawatan Ketua Cabang daripada penyandang, Raymond Ahuar dengan majoriti besar, meraih 2,694 undi.
Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin mengekalkan jawatan Ketua Cabang Tuaran selepas menewaskan dua pencabarnya.

Antara Ketua Cabang lain yang turut berjaya mempertahankan jawatan ialah Awang Husaini Sahari (Putatan), Romansa Lamin (Silam), Dikin Musah (Beaufort) dan Wendy Agong Baruh (Sipitang).






