
KUCHING – Pembangunan ke arah kemajuan perlu seiring dengan kelestarian alam sekitar sentiasa menjadi keutamaan Sarawak.
Menurut Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh, pembangunan yang seiring dengan kelestarian alam memerlukan penyelesaian inovatif.
“Dalam membangunkan Sarawak ke arah negeri maju, kita perlu menekankan kemampanan alam sekitar, daya tahan ekonomi dan keterangkuman sosial,” kata beliau.
Tambah beliau, teknologi geospatial menjadi kunci untuk mencapai matlamat tersebut.
“Ini membolehkan kita mengurus sumber alam dengan bijak dan mengurangkan kesan perubahan iklim,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap mewakili Timbalan Premier Sarawak Datuk Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Makan Malam GeoWeek 2024 di sebuah hotel pada Khamis.
Sementara itu, beliau menambah kuasa inovasi geospatial terletak pada keupayaannya untuk mencipta cerapan dipacu data.
“Secara tidak langsung dapat memberi manfaat kepada kawasan luar bandar dan bandar,” kata beliau.
Tambah beliau, ia juga meningkatkan akses kepada sumber penting, memelihara persekitaran semula jadi kita dan menyokong perancangan berasaskan komuniti.





