
KANOWIT – Pembangunan di Kampung Bedil terus diperkukuh melalui pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur dan inisiatif kesejahteraan rakyat yang dijalankan secara berterusan demi manfaat penduduk setempat.
Majlis Santai Bersama Wakil Rakyat N50 Machan yang berlangsung pada Ahad menjadi platform penting bagi pemimpin dan penduduk setempat bertukar pandangan serta membincangkan hala tuju pembangunan kampung.
Ketua Kampung Bedil, Mande Selungau menzahirkan penghargaan kepada pihak kepimpinan atas keprihatinan dan komitmen membantu memajukan kampung tersebut.
Menurut beliau, pelbagai kemudahan asas berjaya dinaik taraf termasuk pembinaan jalan baharu dan penyediaan bekalan elektrik.
“Walaupun berdepan beberapa cabaran dan bantahan daripada segelintir pihak, projek bernilai RM1.2 juta ini akhirnya berjaya direalisasikan demi kepentingan bersama,” katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machan, Allan Siden Gramong menzahirkan rasa gembira dapat bersama penduduk kampung dalam suasana santai sambil mendengar secara langsung pandangan masyarakat.

Beliau memaklumkan bahawa projek penyambungan jalan Kampung Bedil 2 ke Kampung Bedil 1 telah diluluskan dengan peruntukan RM200,000 dan akan dilaksanakan secara berfasa tanpa melibatkan sebarang pampasan.
“Setiap peruntukan pembangunan memerlukan masa untuk dilaksanakan kerana perlu melalui beberapa peringkat kelulusan. Saya berharap masyarakat terus bersabar dan memberi kerjasama demi manfaat bersama,” jelas beliau.
Beliau turut menekankan kepentingan peranan belia dalam meneruskan legasi pembangunan kampung serta menyeru masyarakat agar mengekalkan semangat perpaduan dan kerjasama demi kemajuan bersama.





