PUTRAJAYA – Pembentangan Belanjawan 2026 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Jumaat lalu boleh ditafsirkan antara yang terbaik serta memperkasa pemberian subsidi bersasar secara pragmatik.
Presiden, Persekutuan Pertubuhan India Muslim Malaysia (PERMIM), Shaik Faridhudheen Anverdeen berkata, keprihatinan Kerajaan MADANI untuk menokhtahkan kadar kemiskinan tegar, adalah suatu usaha yang harus dipuji.
Menurut beliau, pembentangan peruntukan belanjawan itu menunjukan keyakinan serta kesungguhan kerajaan untuk merealisasikan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
“Antara yang menarik perhatian saya adalah, kaedah penyasaran subsidi yang diambil sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah mula menunjukkan hasil.
“Penjimatan subsidi hampir RM16 bilion telah digunakan untuk menampung usaha-usaha membendung peningkatan kos sara hidup serta meningkatkan prasarana,” katanya menerusi kenyataan kepada The Malaysia Press (TMP), pada Ahad.

Dalam pada itu, Shaik Faridhudheen menghargai peruntukan sebanyak RM120 juta untuk berikan pendidikan tinggi percuma yang akan beri manfaat kepada 5,800 pelajar miskin dan menyifatkan ia inisiatif luar biasa yang diperuntukkan kerajaan menerusi Belanjawan 2026.
Menurut beliau, peruntukan hampir RM13 bilion untuk negeri Sarawak dan Sabah serta peruntukan khas sebanyak RM600 juta juga menzahirkan komitmen Kerajaan MADANI untuk memajukan infra di kedua-dua negeri terbabit.
“Usaha memperkasakan pendidikan TVET dengan peruntukan hampir RM8 bilion dilihat sudah tentu akan merangsang industri TVET negara yang secara langsung akan melahirkan tenaga-tenaga mahir dalam bidang-bidang berimpak tinggi.
“Pada masa sama, Tahun Melawat Malaysia 2026 juga akan menjadi penyumbang utama kepada pendapatan negara pada tahun hadapan dengan anggaran pendapatan sebanyak hampir RM330 bilion. Pemain industri pelancongan sudah pasti akan teruja dengan usaha daripada kerajaan,” katanya.
Sementara itu, Shaik Faridhudheen berkata, kerajaan juga menjadikan bidang pertanian serta keterjaminan makanan sebagai keutamaan dengan menyediakan peruntukan subsidi hampir RM2.5 bilion.
“Peruntukan terbabit dilihat akan merangsang para petani untuk meneroka bidang pertanian dengan mengunakan teknologi moden serta terkini.
“Adalah diharapkan , kadar pertumbuhan ekonomi negara akan terus meningkat dan nilai mata wang kita akan terus mengukuh,” katanya.




