GUA MUSANG – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pembangkang bertindak memulakan serangan terhadap kerajaan disebabkan takut menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berkata, selain calon, antara yang menjadi ‘mangsa’ ialah beberapa agensi berkaitan.
“Kita dengar ‘serangan’ pada PRK, pilihan raya negeri. Mereka sebenarnya takut.
“Sebab itu mereka serang Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), serang Felcra dan sesiapa sahaja yang tidak disukai… tetapi serangan itu akan berbalik semula kepada mereka,” katanya ketika berucap pada Program Temu Mata Warga Kesedar Bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, pembangkang sepatutnya melakukan tugas dipertangungjawabkan dan bukannya sibuk menyerang pihak tertentu.
“Saya tidak mahu sebut namanya, sama ada dia masih hidup atau sudah mati… tetapi hakikatnya apabila satu tanggungjawab diberi oleh pemimpin atasan, jalankan tugas dengan sebaiknya untuk membantu,” tegasnya.
Beliau turut berkata, setakat ini prestasi menteri dan timbalan menteri daripada BN adalah yang terbaik untuk memimpin dalam Kerajaan Perpaduan.
Justeru katanya, calon BN dipilih kerana beliau merupakan individu yang mampu menjalankan tanggungjawab.
“Inilah yang berlaku di Nenggiri apabila Awie (Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani) dipilih sebagai calon, ertinya kita pilih calon terbaik,” katanya.




