MENABUR fitnah terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim seperti sudah menjadi darah daging kepada pembangkang ketika ini.
Mereka seakan lupa dosa dan pahala, saban hari mencipta pelbagai fitnah demi memburukkan reputasi Perdana Menteri di mata rakyat.
Segala tindak-tanduk, gerak geri Perdana Menteri akan diperhati setiap inci dan waktu, persepsi yang jelik dicipta yang kemudiannya menjadi fitnah demi memenuhi nafsu politik jahat mereka.
Terbaharu, ketidakhadiran Perdana Menteri ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-268 pada 5 Januari lalu telah dijadikan modal politik pembangkang untuk mencipta persepsi negatif sekaligus fitnah kepada beliau.
Kecoh di media sosial pro pembangkang kononnya Anwar tidak diundang ke mesyuarat itu yang berlangsung selama tiga hari di Istana Negara.
Menambah perisa fitnah, para cytro pembangkang mula memainkan naratif kononnya Perdana Menteri tidak diundang ke mesyuarat Majlis Raja-Raja itu kerana beliau engkar melaksanakan Titah Adendum hukuman tahanan di rumah terhadap Datuk Seri Najib Razak tahun lepas.
Ahli Dewan Negara, Datuk Dr Azhar Ahmad berkata, pembangkang memang memusatkan sasaran politik mereka terhadap Anwar kerana beliau adalah pemimpin nombor satu negara dan merupakan ketua Kerajaan Perpaduan.

Ini memang sudah menjadi lumrah dalam politik, namun Azhar berkata, beliau kecewa kerana pembangkang hari ini sering mencipta politik melulu, tidak membina fikrah dan menimbulkan kegusaran awam.
“Mesyuarat Majlis Raja-Raja sebelum ini telah menjadi kebiasaan Perdana Menteri untuk tidak hadir, maksud saya tiada isu pun kerana Perdana Menteri sebelum PMX pun pernah untuk tidak hadir.
“Saya dimaklumkan PMX telah minta diperkenan untuk tidak hadir ke mesyuarat itu kerana meraikan ketibaan tetamu atau pembesar luar negara yang hadir ke negara kita.
“Jadi amatlah menyedihkan bagi saya, apabila pembangkang sewenang-wenangnya menabur fitnah melulu, tanpa usul periksa mencipta naratif jahat hanya untuk nafsu politik jahat mereka, adakah mereka sudah lupa dosa dan pahala, ini satu politik yang tidak matang,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Azhar yang juga Ketua UMNO Bahagian Beruas berkata, naratif jahat yang tersebar itu boleh mencalarkan reputasi dan mengundang tanggapan buruk rakyat terhadap institusi diraja.
“Perdana Menteri menjadi sasaran utama mereka, pembangkang akan jadikan apa sahaja berita berkaitan PMX untuk dijadikan modal politik jahat kerana satu sahaja… nak bagi rakyat benci beliau dan Kerajaan Perpaduan.
“Kepada pencipta dan penyebar cerita palsu, jangan memburukkan institusi Sultan dan Raja melayu dengan cerita palsu.
“PMX telah terima perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk tidak hadir atas tugas rasmi menerima tetamu negara pada waktu berkenaan.
“Juga beliau sentiasa berhubung dan bertemu dengan Agong yang tidak berhajat memperbesar acara baginda ke luar negara. Malahan Tuanku memaklum dan menyatakan hasrat untuk mendapatkan rawatan lebih awal lagi secara peribadi kepada PMX.
“Tuduhan ini semata-mata sengaja mencipta persepsi jahat. Awas jangan sampai termasuk kategori menghina institusi ini dan melanggar undang-undang negara berkaitan tegahan memfitnah dan memburuk institusi Sultan, Raja dan Melayu serta 3R,” katanya.
Azhar turut membidas sikap pembangkang yang tergopoh-gapah dalam berpolitik sehingga sanggup buat apa sahaja demi untuk menghasut rakyat membenci para pemimpin Kerajaan Perpaduan.
“Pembangkang berniat jahat, gopoh tak sabar-sabar untuk menunggu pilihan raya umum akan datang kononnya mereka dapat jadi pemerintah. Maka inilah yang terjadi, fitnah menjadi darah daging mereka sekarang.
“Pastinya mesyuarat Majlis Raja-Raja mempunyai protokol dan tertibnya sendiri. Sekiranya Perdana Menteri tidak dapat hadir, ianya telah dimaklum dan mendapat perkenan awal.
“Justeru, peranan kita sebagai rakyat kena tapis dulu apabila menerima berita khususnya yang datang dari pembangkang kerana banyak yang tidak betul daripada benar. Jangan mudah termakan dengan hasutan pembangkang.
“Jadi, elak beranggapan ia mesyuarat macam orang kebiasaan atau pertemuan orang politik yang caca-marba. Kalau pihak istana buat laporan kamu memfitnah, baru kamu tahu langit tinggi rendah masa tu, tanggunglah sendiri,” katanya.




