
TAWAU – Seorang pemandu van ditahan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau selepas dikesan membawa muatan rokok tanpa cukai di Jalan Sin Onn Tiku, awal pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, lelaki berumur 25 tahun warga tempatan itu ditahan kira-kira pukul 1.50 pagi.
“Pemeriksaan ke atas van tersebut menemukan pelbagai jenis rokok seludup yang disimpan di bahagian belakang kenderaan.
“Nilai rampasan masih dalam proses penilaian, namun dipercayai mencecah ribu ringgit berdasarkan jumlah kotak rokok yang ditemui,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 kerana memiliki barang larangan tanpa kelulusan pihak berkuasa.
Tegas Jasmin, polis tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam kegiatan penyeludupan kerana ia bukan sahaja merugikan negara dari segi cukai, tetapi juga boleh membawa kepada aktiviti jenayah lain.
“Orang ramai dialu-alukan untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki sebarang aktiviti penyeludupan di kawasan mereka bagi membanteras kegiatan haram ini,” ujarnya.



