KUANTAN – Seorang lelaki dipercayai diserang sawan sebelum kereta Perodua Myvi dipandunya hilang kawalan hingga terbabas dan melanggar empat pejalan kaki di Kilometer (KM) 68, Jalan Kea Farm dekat Cameron Highlands, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Cameron Highlands, Superintenden Azri Ramli berkata, dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari itu, mangsa terdiri daripada seorang lelaki berusia 24 tahun dan tiga kanak-kanak perempuan berusia 2, 8 dan 10 tahun.
Katanya, semua mangsa mengalami kecederaan dan dibenarkan pulang selepas menerima rawatan di Hospital Sultanah Hajjah Kalsom, dekat bandar pelancongan itu.
“Siasatan awal mendapati pemandu kereta berusia 22 tahun dari arah Brinchang menghala ke Kea Farm.
“Kereta dipandu hilang kawalan selepas pemandu dipercayai diserang penyakit sawan lalu terbabas masuk ke bahu jalan kiri dan melanggar beberapa pejalan kaki,” katanya dalam kenyataan media.
Azri berkata, hasil siasatan mendapati pemandu itu tidak memiliki rekod saman dan hasil ujian saringan awal air kencing didapati negatif serta memiliki rekod penyakit sawan.
“Saman dikeluarkan kepada pemandu berkenaan dan kita meminta masyarakat untuk tidak sesekali menularkan maklumat tidak sahih,” tambahnya.






