IPOH – Insiden sebuah lori tangki minyak tanpa muatan yang terbabas ke dalam parit dekat Kilometer (KM) 263.0 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini, pada Selasa menyebabkan seorang lelaki, yang juga pemandu maut di lokasi kejadian.
Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, seorang lagi mangsa, iaitu kelindan berusia dalam lingkungan 30-an pula mengalami kecederaan parah.
Katanya, pihak JBPM menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 10.49 pagi dan susulan itu anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Meru Raya dan Kuala Kangsar bergegas ke lokasi kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori tangki minyak jenis Hino tanpa muatan yang terbabas di dalam parit.
“Terdapat dua orang mangsa lelaki tersepit di bahagian pemandu dan penumpang, masing-masing berusia dalam lingkungan 40-an dan 30-an,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Sabarodzi berkata, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan pada 12.13 tengah hari.
“Ketua operasi mengaplikasikan konsep SAVER dan mengarahkan anggota mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan menyelamat. Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan kematian pemandu di lokasi kejadian.
“Mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan yang parah dibawa ke hospital menggunakan ambulans,” katanya yang turut menyatakan operasi membabitkan seramai 15 orang anggota itu, tamat pada jam 12.40 tengah hari.




