
TUARAN – Seorang pemandu kenderaan pacuan empat roda meninggal dunia selepas kenderaannya bertembung sebuah lori muatan 10 tan, di Kampung Bunga Tenghilan, di sini, pada Jumaat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada pukul 5.55 petang.
“Kemalangan melibatkan seorang pemandu lelaki berumur 30 tahun, memandu kenderaan jenis pacuan empat roda jenis Ford.
“Pemandu terbabit yang tersepit berjaya dikeluarkan daripada kenderaan berkenaan oleh pasukan bomba namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi tindakan susulan,” katanya ketika dihubungi pada Sabtu.
Menurut Mohd Nor, terdapat dua lagi mangsa turut terlibat dalam kemalangan tersebut.
“Seorang penumpang lelaki kenderaan Ford turut mengalami kecederaan parah akibat kemalangan tersebut.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Tuaran oleh ambulans KKM untuk rawatan lanjut.
“Manakala seorang lagi pemandu lelaki, lori 10 tan yang turut terlibat dalam kemalangan itu tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, jelas Mohd Nor, sebelumnya seramai lapan anggota bomba digerakkan bersama jentera penyelamat, tiba di lokasi pada pukul 6.20 petang dalam jarak 16 kilometer.
“Setelah memastikan tiada lagi bahaya yang wujud operasi ditamatkan pada pukul 6.31 petang,” ujarnya.





