
PUTRAJAYA – Bermula 1 Januari 2025, semua penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial perlu memohon Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (CASP) bagi membolehkan ia beroperasi dengan lancar di Malaysia selepas tarikh tersebut.
Inisiatif pelesenan itu sudah semestinya dilaksanakan bagi melindungi dan meningkatkan keselamatan pengguna di dalam talian terutamanya dalam mengekang daripada menjadi mangsa kepada jenayah siber dan penderaan digital.
Menerusi tinjauan The Malaysia Press, rata-rata orang ramai menyambut baik inisiatif ulung tersebut di mana ia sedikit sebanyak dapat membantu dalam mewujudkan pengalaman pelayaran internet yang lebih selamat terutamanya kepada kanak-kanak dan keluarga.
Menurut Marina, 32, yang merupakan seorang guru di Putrajaya, usaha kerajaan yang mewajibkan semua platform penyedia media sosial dan pesanan internet untuk mendapatkan lesen beroperasi, menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga di alam siber.

Katanya, pelaksanaan lesen tersebut juga akan membantu dalam mengenalpasti dan tidak melepaskan mereka yang berniat jahat di alam siber seperti pesalah laku dan penjenayah pedofilia serta jenayah seksual kanak-kanak.
“Memang kerajaan buat langkah ini adalah satu benda yang bagus lah sebab sekarang kita tengok bermacam-macam masalah sosial dalam kalangan masyarakat dan banyak juga gejala siber buli.
“Malah keselamatan dalam sosial ini seolah-olah sudah tidak terjamin lagi dimana orang boleh sesuka hati ‘stalk’ orang lain secara terus sahaja tanpa batasan atau dikenakan tindakan pelanggaran, data peribadi juga senang untuk digodam, jadi sangat patutlah kerajaan ambil langkah awal untuk membasmi sebelum ia menjadi semakin teruk.
“Saya harap selepas kerajaan melaksanakan lesen ini, tiada lagi isu-isu media sosial yang melibatkan kes buli siber dan sekiranya ada, mereka boleh kenal pasti terus pelakunya tanpa perlu mengambil masa yang lama untuk menangkap pelakunya,” katanya ketika ditemui The Malaysia pada Khamis.
Sementara itu, menurut Kasmah, 45, kadang kala ibu bapa tidak sempat untuk memantau segala pergerakan anak-anak dan apa yang mereka layari di internet, jadi pelesenan media sosial dianggap sebagai salah satu jalan penyelesaian untuk menyekat anak-anak daripada melayari dan melihat perkara yang tidak sepatutnya.

“Saya tidak setuju kalau kanak-kanak di bawah umur melayari internet pada usia yang terlalu awal, tidak elok kerana pada pemerhatian saya, ada segelintir daripada mereka sudah pandai mengakses perkara-perkara yang bukan-bukan di media sosial dan internet.
“Sebab itu, inisiatif pelesenan tersebut bagus juga dari segi memperlahankan sedikit pergerakan anak-anak di media sosial dan jangan biarkan anak-anak terlalu bebas serta ada had batasan tentang apa yang boleh dilakukan dan apa yang tidak boleh dibuat di alam siber,” katanya.
Turut sama bersetuju, seorang pembantu tadbir, Nur Syuhada, 33, yang mana menyifatkan ia sebagai salah satu inisiatif yang baik namun tahap kesedaran tentang bahayanya internet dan media sosial ini masih kurang dalam kalangan ibu bapa sehingga membiarkan anak-anak bawah umur menggunakan internet tanpa pemantauan.

“Sekarang ini ramai kanak-kanak bawah umur 18 tahun sudah menggunakan media sosial dan melihat kandungan yang tidak sepatutnya mereka lihat di usia tersebut jadi lesen tersebut bertindak sebagai pencegahan di mana ia semestinya mempunyai garis panduan yang perlu diikut oleh setiap penyedia platform.
“Sebagai contoh, untuk kita masuk dalam kandungan tidak sepatutnya itu, ia semestinya akan ditapis terlebih dahulu siapa yang boleh tengok ataupun ia boleh melabelkan sebagai ‘restricted’ atau terhad secara terus. Jadi selamatlah untuk orang yang melihatnya terutamanya wanita dan kanak-kanak,” ujarnya.
Namun begitu, menurut Izam, 43, seorang penjawat awam, langkah menetapkan pelesenan kepada media sosial itu sangat efektif dengan situasi kecelaruan media sosial ketika ini namun kerajaan perlu memberikan advokasi dan penerangan kepada rakyat supaya ia tidak disalah erti sebagai satu tindakan untuk menyekat kebebasan dalam menggunakan internet dan media sosial.

“Kalau tindakan tersebut untuk mengekang kes-kes jenayah dalam talian, ia adalah satu perkara yang baik dan baguslah. Tapi rasanya kerajaan kena betul-betul jelaskan kepada rakyat supaya tidak mahu tindakan ini dilihat sebagai cubaan untuk mengawal kebebasan pengguna yang mana akan menjadi bola tanggung kepada kerajaan, penerangan itu kena betul-betul dijelaskan.
“Dari segi keselamatan perkara itu perlu dikawal sebenarnya dan kalau melesenkan itu adalah salah satu cara untuk mengawal, ia satu cadangan yang sangat bagus, mungkin saya boleh cadangkan kepada kerajaan, advokasi itu kena lebih sedikit dan berstrategi supaya tindakan ini tidak disalah ertikan sebagai satu cubaan untuk mengongkong kebebasan kandungan.
“Sebenarnya pelesenan ini sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan media sosial itu sendiri menjadi lebih bertanggungjawab, kerajaan hanya memainkan peranan melalui pelesenan tapi sebenarnya tanggungjawab yang sebenar jatuh kepada penyedia itu sendiri,” katanya.
Tambahnya, dengan adanya pelesenan tersebut ia diharap dapat menjadikan media sosial dan media digital menjadi bertambah baik dan sedikit sebanyak boleh membantu ibu bapa dalam melindungi kanak-kanak dan keluarga.
“Mungkin selepas ini dengan adanya pelesenan itu, kandungan-kandungan yang tidak sepatutnya berada di dalam media sosial ini semakin berkurang berbanding sekarang.
“Mungkin selepas ini apabila dikuatkuasakan sepenuhnya, kita akan nampak perbezaan kandungan-kandungan yang tidak sesuai, tidak sepatutnya mungkin ada tapi tidak sebanyak sebelum tiada lesen,” tambahnya.






