PELARI ultra maraton Australia, Natalie Dau menerima pengiktirafan Rekod Dunia Guinness (GWR) sebagai individu terpantas menyempurnakan larian merentasi Semenanjung Malaysia.
Portal UPI melaporkan, kejayaan wanita berusia 52 tahun itu sekali gus meletakkannya sebagai individu terpantas berlari merentasi Semenanjung Malaysia.
Natalie mencipta rekod itu selepas berlari dari utara Kelantan ke Johor Bahru, meliputi jarak lebih 700 kilometer (km) dalam tempoh lapan hari dan 46 minit.
Dia amat bersedia untuk cabaran ini, dengan mempunyai 10 gelaran kejuaraan dan menyertai perlumbaan antara 50km hingga 200km.
Bagi menyempurnakan misinya, Natalie berlari antara 85 hingga 95km setiap hari, bermula seawal 12.35 tengah malam untuk mengelakkan cuaca panas.
“(Jarak) 20km terakhir setiap hari adalah paling sukar pernah saya alami,” kata Natalie.
Natalie mula membuat kemunculan sulung dalam ultra maraton pada 2019.
Kali ini, Natalie melakukan misi dengan tujuan mengumpul dana untuk GRLS iaitu badan amal global yang menyokong gadis dan wanita melalui sukan.
“Terdapat jurang jantina yang besar dalam bersenam kerana wanita berkemungkinan 40 peratus kurang aktif (berbanding lelaki).
“Jumlah itu lebih tinggi dalam komuniti yang kurang bernasib baik.
“Ia boleh menjadi kekurangan akses kepada kemudahan, stereotaip jantina, sebab agama atau budaya yang menyukarkan wanita, jadi GRLS berusaha untuk memecahkan halangan ini,” katanya.









