PUTRAJAYA – Kemelut pelantikan Menteri Besar Perlis terus mencetuskan ketegangan apabila beberapa pemimpin Pas secara terbuka meluahkan kekecewaan terhadap Bersatu yang disifatkan gagal menjaga amanah serta semangat setiakawan dalam Perikatan Nasional (PN).
Luahan itu dizahirkan sebagai reaksi langsung terhadap pelantikan Abu Bakar Hamzah yang juga Ketua Badan Pimpinan Negeri (MPN) sebagai Menteri Besar Perlis, sekali gus memperlihatkan retaknya kepercayaan antara rakan sekutu politik.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menerusi Facebook secara sinis menyifatkan perkataan ‘setia’ dan ‘kawan’ sebagai dua kalimah yang sukar untuk bersatu, satu sindiran jelas terhadap tindakan parti pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat sanggup menikam rakan sendiri dari belakang.

Menerusi hantaran berbeza, Mohd Amar turut membangkitkan tanda tanya yang lebih serius menerusi persoalan: “Apakah retak menanti belah”.
Dalam pada itu, nada kekecewaan turut dikongsikan Ketua Dewan Pemuda Pas Malaysia, Afnan Hamimi Taib Azamudden menerusi Facebooknya menerusi hantaran berbunyi: “Terima kasih kerana mengajar kami erti KAWAN. Akan diingati sampai bila-bila”, sekali gus memberi gambaran luka politik yang sukar dipadamkan.

Sementara itu, Ketua Dewan Ulama Pas Perlis, Ahmad Adnan Fadzil menyifatkan, dalam politik, kelicikan semata-mata tidak menjamin kelangsungan, sebaliknya kejujuranlah sebenarnya senjata untuk bertahan.
Tegasnya, kegagalan menyampaikan kebenaran kepada pimpinan tertinggi hanya akan membawa kepada keputusan yang tidak adil dan mencetuskan krisis kepercayaan.
Jika prinsip ini dipelihara, tidak akan berlaku apa yang sedang kita saksikan hari ini. Semoga kita semua menginsafi kesalahan diri dan memperbaikinya,” katanya.

Sementara itu, dalam hantaran berbeza, Ahmad Adnan berkata, lantikan Abu Bakar sebagai Menteri Besar Perlis bukan bermakna Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail tidak menghormati Pas.
“Sebaliknya, ia supaya Pas menyedari bahawa baginda juga mempunyai kuasa yang mesti dihormati. Kita perlu terima kesilapan kita dan membetulkannya,” katanya.
Terdahulu, Abu Bakar yang juga Timbalan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Perlis dilantik sebagai Menteri Besar Perlis bagi menggantikan Mohd Shukri Ramli.







