
KOTA KINABALU – Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah (MAFFI) menyasarkan peningkatan pendapatan pekebun kecil getah daripada sekitar RM1,800 sebulan kepada RM5,000 menerusi pelaksanaan Pelan Strategik 25 Tahun Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS).
Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pelan berkenaan bersifat komprehensif dan melangkaui jangkaan awal dengan memberi tumpuan kepada kepelbagaian aktiviti ekonomi luar bandar, sekaligus mengurangkan kebergantungan kepada tanaman getah semata-mata.
Menurut beliau, LIGS kini bukan sahaja memacu pembangunan berasaskan getah, malah turut mengusahakan ladang padi, nenas, durian Musang King, lebah madu serta tanaman tambahan lain bagi meningkatkan pendapatan petani luar bandar.
“LIGS juga meneroka industri sokongan termasuk pengangkutan dan pasaran eksport bagi memastikan hasil pertanian Sabah dapat dipasarkan secara lebih meluas serta berdaya saing,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Pelan Hala Tuju Strategik LIGS 2025 (V50), di sini, Khamis.

Tambahnya, pelan strategik berkenaan perlu dijadikan panduan utama oleh pengurusan dan kakitangan LIGS bagi memastikan hala tuju pembangunan sektor getah dan pertanian negeri lebih tersusun untuk tempoh 25 tahun akan datang.
Mengulas lanjut cabaran industri getah, beliau berkata ketidaktentuan harga pasaran dunia mendorong Kerajaan Persekutuan menyediakan Insentif Pengeluaran Getah (IPG), manakala Kerajaan Negeri Sabah menyalurkan Bantuan Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) bagi membantu pekebun kecil.
“Pada masa ini, bantuan negeri adalah sekitar 50 sen sekilogram bagi getah cecair dan 25 sen sekilogram bagi getah skrap,” jelasnya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan perbincangan sedang diadakan bersama pengurusan LIGS bagi menyediakan kertas kabinet yang memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan pendapatan pekebun kecil, bukan hanya melalui subsidi, tetapi juga aktiviti ekonomi sampingan.
Antaranya termasuk pembangunan ladang nenas di Kota Marudu yang akan membekalkan bahan tanaman bagi program kebun dapur, sekali gus membolehkan pekebun kecil memanfaatkan waktu petang selepas menoreh untuk menjana pendapatan tambahan.
“Secara statistik kebanyakan pekebun kecil getah masih berada dalam kategori B40 dengan purata pendapatan sekitar RM1,800 sebulan bagi keluasan 15 ekar, dipengaruhi faktor disiplin kerja dan kehadiran ke ladang.
“Pendidikan dan kesedaran perlu dipertingkat supaya pekebun lebih konsisten menoreh serta memanfaatkan peluang pendapatan sampingan yang disediakan,” ujarnya.





