SELEPAS tiga hari bertarung nyawa di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultan Abdul Aziz Shah (HSAS), Serdang, pelakon Along Eyzendy menghembuskan nafas terakhir jam 12.16 tengah malam tadi.
Berita pemergian Allahyarham Along atau nama sebenarnya, Mohd Ezendy Mohd Aziz, 47. disahkan sahabatnya, Farah Adila Apandi, ketika dihubungi Berita Harian.
Menurut Farah, Along menghembuskan nafas terakhir dengan tenang di sisi isterinya, Hamidah Mohd Yatim.
“Allahyarham pergi dalam keadaan tenang dan isterinya berada di sisi ketika saat-saat akhir,” katanya.
Setakat ini, jenazah masih berada di hospital dan keluarga akan berbincang bagi menentukan lokasi pengebumian.
Maklumat lanjut mengenai urusan pengebumian akan dimaklumkan dari masa ke semasa.
Mengulas keadaan keluarga Allahyarham Along, Farah berkata, ahli keluarga reda dengan pemergian pelakon berkenaan.
“Keluarga sudah bersedia kerana beberapa jam sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir, doktor meminta ahli keluarga membacakan surah Yasin,” katanya.
Khamis lalu, Along dilaporkan semakin kritikal selepas ditidurkan di ICU.
Hamidah dilaporkan berkata, keputusan menidurkan suaminya dibuat susulan pendarahan serius dalam perut, namun, doktor masih belum mengenal pasti punca sebenar masalah itu.
Pada 30 Januari lalu, Allahyarham Along dimasukkan ke hospital selepas demam dan batuk berpanjangan. Doktor kemudian mengesyaki ada jangkitan pada stent di saluran hempedu.







