PENGUMUMAN Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mengenai kenaikan tarif ke atas barangan import, khususnya dari China, telah mencetuskan gelombang kebimbangan dalam kalangan pelabur dan pemain industri global.
Langkah tersebut, yang dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan ‘America First’, telah membuka episod baharu perang dagang antara dua kuasa besar dunia.
Kesan langsung daripada dasar tersebut ialah gangguan besar terhadap rantaian bekalan antarabangsa serta peningkatan kos operasi bagi syarikat multinasional.
Keadaan ini memaksa syarikat-syarikat global menilai semula lokasi pengeluaran mereka, mencari kawasan yang lebih stabil dan kos efektif bagi menjamin kelangsungan perniagaan.
Dalam konteks itu, keputusan Jabil Inc. (Jabil) untuk melabur di negara kita atau lebih tepat di negeri Perlis bukan sekadar keputusan perniagaan.
Keputusan syarikat kejuruteraan dan pembuatan bertaraf global dari Florida, Amerika Syarikat itu adalah satu isyarat jelas bahawa Malaysia kekal sebagai destinasi pelaburan strategik, meskipun berdepan cabaran ekonomi global.
Lebih menarik, pelaburan dan perasmian kilang syarikat semikonduktor pada Isnin lalu itu dibuat di sebuah negeri yang ditadbir oleh parti pembangkang.
Ia juga membuktikan bahawa komitmen Kerajaan Persekutuan terhadap pembangunan negara mengatasi perbezaan fahaman politik. Fokus utamanya ialah kepentingan rakyat dan pembangunan seimbang di seluruh negara.
Menerusi sokongan agensi Persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), pelaburan Jabil di Chuping bukan sahaja dipermudah, malah turut diberi sokongan teknikal yang rapi. Satu gambaran pendekatan profesional dan menyeluruh oleh Kerajaan Persekutuan.
Pengembangan operasi kilang Jabil ke Perlis turut mencerminkan trend pelaburan global yang semakin bersifat diversifikasi. Syarikat-syarikat antarabangsa kini tidak lagi tertumpu kepada China dan Vietnam sahaja, sebaliknya mula memberi perhatian kepada lokasi alternatif yang menawarkan kestabilan politik, tenaga buruh berkemahiran tinggi dan akses logistik serantau yang baik seperti yang ditawarkan Malaysia.
Pembukaan kilang Jabil di Kawasan Perindustrian Lembah Chuping (CVIA) bukan sahaja akan mencipta peluang pekerjaan untuk rakyat Perlis, malah dijangka mempercepat pemindahan teknologi, pembangunan modal insan serta merangsang pertumbuhan ekonomi wilayah utara Semenanjung Emas ini.
Ia juga membawa mesej penting kepada rakyat Perlis bahawa mereka tidak dipinggirkan daripada arus pembangunan negara. Kerajaan Persekutuan kekal komited membantu negeri ini agar mampu bersaing dan berdikari dari segi ekonomi, walaupun berada di bawah pentadbiran parti berbeza.
Bagi pelabur luar, ini adalah bukti jelas bahawa Malaysia menyediakan suasana pelaburan yang stabil, profesional dan pragmatik. Tiada diskriminasi politik dalam polisi pelaburan negara, apa yang penting ialah kebolehpercayaan, kecekapan dan hasil jangka panjang kepada rakyat.
Dalam konteks nasional, langkah ini mencerminkan strategi Kerajaan Persekutuan dalam memperkukuh pembangunan wilayah melalui pengagihan pelaburan yang lebih seimbang.
Tidak semua pelaburan perlu tertumpu di Lembah Klang atau selatan tanah air. Negeri seperti Perlis juga mampu menyumbang kepada ekonomi negara sekiranya diberi peluang dan sokongan secukupnya.
Lebih daripada itu, pelaburan seperti ini boleh menjadi asas kepada pewujudan ekosistem industri baharu di Perlis. Apabila syarikat berskala besar seperti Jabil bertapak, ia berpotensi menarik rantaian pembekal, penyedia perkhidmatan dan pelbagai kemudahan sokongan lain ke kawasan sekitar.
Kerajaan Persekutuan telah menunjukkan teladan yang baik dalam hal ini, tidak menjadikan perbezaan politik sebagai penghalang untuk membela rakyat. Sebaliknya, segala dasar dan tindakan tetap menjurus kepada kesejahteraan seluruh rakyat Malaysia.
Dalam keadaan ekonomi global yang masih bergelora, tindakan tegas, bijaksana dan berjiwa besar seperti inilah yang diperlukan.
Pelaburan Jabil di Perlis bukan sekadar pelaburan ekonomi, ia adalah pelaburan keyakinan terhadap negara dan pelaburan harapan buat rakyat.









