KUANTAN – Keputusan syarikat dari China untuk melabur dalam sektor petrokimia di Pahang menunjukkan negeri ini memiliki potensi yang baik.
Sambil menyifatkan perkara itu sebagai pengiktirafan terhadap kestabilan politik di Pahang dan Malaysia secara umumnya, pemilihan kawasan perindustrian Gebeng juga menunjukkan lokasi itu sangat strategik.
Pengerusi Amanah Pahang, Mohd Fadzli Mohd Ramly berkata, tidak timbul isu berkaitan kedaulatan negara bakal terancam menerusi perjanjian ditandatangani Selasa lalu.
“Apa yang dibangkitkan Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu dalam satu kenyataan baru-baru ini adalah tidak tepat.
“Bukanlah bermakna apabila syarikat itu melabur dan membuka kilang di sini, maknanya tanah itu menjadi hak milik mereka.
“Perkara ini juga sudah dijelaskan secara terperinci oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail semalam,” katanya menerusi satu kenyataan media, hari ini.
Mohd Fadzli turut menasihatkan Andansura supaya melihat perjanjian itu sebagai satu usaha meningkatkan ekonomi penduduk setempat dalam bentuk peluang pekerjaan yang bakal ditawarkan.
Katanya, tanah pajakan 99 tahun itu boleh diambil semula kerajaan Pahang sekiranya berlaku pelanggaran syarat oleh syarikat terbabit.
“Kerajaan pada bila-bila masa boleh mengambil semula tanah itu mengikut Akta Pengambilan Tanah 1960 bagi tujuan pembangunan untuk rakyat Pahang,” jelasnya.
Beliau turut menyokong kenyataan Wan Rosdy untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Andansura jika kenyataan dibuat ADUN Beserah itu mempunyai niat untuk memburukkan kerajaan Pahang.





