
KOTA KINABALU – Majlis Gereja-Gereja Sabah melibatkan 88 gereja di kawasan Inanam dan Manggatal menerima sumbangan berjumlah RM55,000 daripada Pejabat Parlimen Sepanggar.
Ahli Parlimen Sepanggar, Datuk Mustapha Sakmud berkata, sumbangan itu bagi membantu persiapan untuk sambutan Krismas nanti.
“Kita seperti biasa akan membantu Majlis Gereja-Gereja Sabah dan juga Gereja-Gereja di seluruh Parlimen Sepanggar ini.
“Ini untuk sebagai memudahkan untuk gereja-gereja ini menyambut krismas yang tidak lama lagi,” katanya dalam sidang media selepas Sambutan Perayaan Krismas Gabungan Manggatal dan Inanam 2025 di sini pada Jumaat.

Jelasnya, sumbangan diberi berdasarkan keperluan dan kapasiti gereja yang mana gereja yang kapasitinya besar masing-masing menerima RM1,000 dan gereja kecil menerima RM500.
Beliau berkata, sumbangan itu telah ditingkatkan berbanding tahun sebelum ini iaitu gereja besar diberikan sebanyak RM700 dan gereja kecil RM300.
Semantara itu, Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi juga meminta Majlis Gereja-Gereja untuk membuat semakan semula agar tidak ada yang tercicir daripada sumbangan itu.
“Cuma saya maklumkan kepada Majlis Gereja-Gereja untuk semak semula, takut ada lagi yang tertinggal dan maklumkan kepada pejabat Parlimen.
“Kita akan pastikan tidak ada yang tercicir daripada sumbangan Parlimen ini,” ujarnya.
Beliau berharap semoga perayaan natal ini dapat meningkatkan semangat kekeluargaan meningkatkan keharmonian masyarakat kita dalam kita bersama-sama memastikan negeri dan juga Malaysia terus makmur dan juga harmoni.
Pada majlis sama, turut disampaikan 50 pek bakul mkanan.








