SKUAD bawah 10 tahun (U10) Pandan Damai Soccer Kids (PDSK) muncul naib johan dalam saingan Garuda International Cup 2025 yang berlangsung di Jakarta, hujung minggu lalu.
Pencapaian pasukan yang diasaskan di Kuantan, Pahang sekitar tahun 2015 itu sangat membanggakan memandangkan ia tidak mendapat sebarang tajaan besar daripada mana-mana pihak sejak ditubuhkan.
Pada final menentang pasukan Evergrande dari China, PDSK tewas 0-2 walaupun memberi tentangan sengit kepada pasukan lawan yang lebih banyak mendapat pendedahan dalam perlawanan kompetitif di peringkat antarabangsa.
Walaupun hanya meraih gelaran naib johan, pemain utama PDSK U10, Qayyum Qushairi dinobatkan sebagai penjaring terbanyak sepanjang kejohanan berlangsung dengan 12 gol.
Pihak pengurusan PDSK U10 dalam satu kenyataan merakamkan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Kerajaan Pahang kerana menyalurkan sumbangan bagi menampung perbelanjaan pasukan untuk menyertai kejohanan tersebut.
“Sokongan berterusan daripada ibu bapa pemain serta penaja lain juga sangat membantu dalam melengkapkan pasukan PDSK untuk memberi saingan terbaik mereka dalam kejohanan ini,” kata kenyataan itu.
Pencapaian PDSK U10 itu juga diharap membuka mata banyak pihak dan seterusnya membantu meningkatkan motivasi pemain untuk merekodkan lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.





