PUTRAJAYA – Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) diarah mengambil tindakan serta menyekat kandungan berita palsu membabitkan impak rantaian konflik di Asia Barat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, keperluan arahan itu dikeluarkan memandangkan sebanyak 96 kandungan berita palsu mengenai harga minyak dan elektrik dikesan MCMC di platform media sosial, setakat ini.
“Kita bekerja dalam keadaan luar biasa dengan cabaran yang meningkat tetapi ini tidak mungkin memadamkan karenah orang terus berdusta, membenci, sabotaj dan khianat.
“Berapa banyak berita palsu mengenai kenaikan harga minyak dan barang kerana dasar tidak benar? Tujuan apa (penyebaran berita palsu)? Rakyat susah, negara tercabar dan terpaksa mengambil tindakan akibat peperangan di negara lain.
“Namun, yang mereka teruskan ialah langkah khianat kepada negara dan rakyat dengan menghebahkan cerita palsu, memperjudikan nasib rakyat, semata-mata untuk meraih keuntungan dan kelangsungan politik sempit serta murahan,” katanya dalam taklimat ringkas pada malam Rabu.
Ketegangan di Asia Barat meruncing sejak 28 Februari lalu, susulan serangan Israel dan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran, diikuti serangan balas Tehran terhadap kepentingan AS di negara Teluk.
Dalam pada itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan turut menyeru masyarakat pelbagai lapisan untuk memilih, menyaring berita dan mencari fakta betul selain cuba memantau keadaan secara bersama-sama.
“Semak dengan rapi dan ambil langkah untuk menyelamatkan keluarga, masyarakat dan negara.
“Saya mendoakan ke hadrat Allah SWT, mudah-mudahan usaha kita diberkati dan negara sentiasa mendapat perlindungan Allah,” katanya.







