SKUAD boling lelaki negara mencipta sejarah apabila menjuarai kejohanan Piala Dunia Boling IBF (Persekutuan Boling Dunia) di Kowloon, Hong Kong dalam acara berpasukan, hari ini.
Kejayaan membanggakan itu hadir selepas Malaysia dibarisi Tun Hakim Tun Hasnul Azam, Timmy Tan, Muhd Rafiq Ismail dan Ahmad Muaz Fishol menewaskan Puerto Rico 3-2 di pentas final.
Pemain negara memenangi set pertama dengan 203-170 jatuhan pin, sebelum Puerto Rico menyamakan kedudukan 1-1 menerusi permainan terbaik mereka 257-216 pada set kedua.
Malaysia kembali di depan menerusi kemenangan 197-180 pada set ketiga namun kedudukan kembali terikat 2-2 selepas Puerto Rico menang dengan keputusan 222-185.
Skuad Malaysia memanfaatkan sepenuhnya peluang terhidang dengan melakukan 227 jatuhan pin tatkala Puerto Rico sekadar melakukan 161 pada set penentuan.
Untuk rekod, ini adalah kali pertama Malaysia bergelar juara di Piala Dunia Boling dalam acara berpasukan lelaki.
Malaysia sebelum ini menjuarai Piala Dunia dalam acara perseorangan lelaki menerusi Syafiq Ridhwan Abdul Malik di Wroclaw, Poland pada 2012.




