
PUTRAJAYA – Pas menawarkan kesediaannya untuk menerajui Perikatan Nasional (PN), susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Pengerusi PN, berkuat kuasa 1 Januari ini.
Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, hasrat itu bertujuan memperkasa organisasi dan sebagai persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
“Pas menyeru semua pihak supaya bermuhasabah dan mengambil iktibar atas apa yang berlaku.
“Seterusnya mengambil segala langkah bagi memperkukuh lagi kepercayaan rakyat terhadap PN,” katanya menerusi kenyataan, pada Selasa.

Selepas lima tahun memimpin PN, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin secara rasmi mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi gabungan itu, berkuat kuasa 1 Januari depan.
Melalui kenyataan media yang dimuat naik di Facebook pada Selasa, bekas Perdana Menteri itu turut melahirkan penghargaan kepada semua kepimpinan PN atas sokongan kepada beliau sepanjang memimpin gabungan terbabit.
Muhyiddin telah mengetuai gabungan itu sejak 7 Ogos 2020, iaitu tarikh ia didaftarkan secara rasmi.
Sebelum ini, wujud beberapa desakan daripada Pas termasuk oleh Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden, yang mahu jawatan Pengerusi PN diberi kepada Pas.
Perselisihan hubungan antara Pas dan Bersatu semakin ketara selepas berlakunya pergolakan politik di Perlis yang menyaksikan peletakan jawatan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang dari Pas, Mohd Shukri Ramli sebagai Menteri Besar.








