KOTA KINABALU – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Sabah meminta agar Pas Sabah tidak mempolitikkan tragedi Allayarhamah Zara Qairina Mahathir dengan menyeru rakyat memakai pakaian hitam pada sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia sebagai tanda solidariti.
Ketua Penerangan AMK Sabah, Mohd Nur Hilmie Milus berkata, seruan Pesuruhjaya Pas Sabah, Datuk Dr. Aliakbar Gulasan itu adalah tidak wajar kerana tragedi ini adalah isu kemanusiaan yang memerlukan empati dan penghormatan.
“Isu Zara Qairina bukannya dijadikan bahan tunggangan politik sempit melalui simbol-simbol protes yang boleh mencemarkan suasana perayaan bersejarah negara.
“Rakyat perlu terus berdoa agar urusan ini dipermudahkan sehingga selesai dan semangat patriotisme terus dipelihara dalam menyambut Hari Kebangsaan serta Hari Malaysia.
“Keadilan untuk Zara tidak harus mengorbankan keharmonian dan kesucian sambutan hari bersejarah negara,” katanya dalam kenyataan media, pada Sabtu.
Menurut Hilmie, AMK Sabah berpendapat Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia adalah detik keramat yang harus diraikan dengan semangat patriotisme, kesyukuran dan cintakan tanah air.
Justeru, hari itu seharusnya disambut dengan semangat untuk menyatukan rakyat di bawah panji negara, bukan medan untuk mencetuskan isyarat politik yang bersifat memecah-belah.
Jelas Hilmie, AMK Sabah turut bersimpati dan bersolidariti dengan keluarga Allahyarhamah Zara Qairina atas kehilangan yang amat menyayat hati ini serta mengakui bahawa seluruh rakyat Malaysia pastinya mahu melihat keadilan ditegakkan.
“Rakyat Malaysia perlu sentiasa bijaksana menapis maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya khususnya di media sosial kerana penyebaran fakta yang tidak
disahkan bukan sahaja berisiko menimbulkan kekeliruan awam, malah boleh menjejaskan kelancaran siasatan.
“Berikan sepenuh laluan kepada pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM), untuk menyempurnakan siasatan secara telus dan berlandaskan undang-undang tanpa tekanan luar yang tidak berasas.
“AMK Sabah yakin bahawa proses siasatan yang sedang dijalankan akan memberikan hasil yang adil dan sewajarnya kepada Allahyarhamah Zara Qairina,” ujarnya.
Keselamatan jemaah haji terjamin walaupun konflik Asia Barat
SEPANG – Kerajaan memberi jaminan keselamatan jemaah haji Malaysia kekal terpelihara walaupun wujud kebimbangan susulan konflik di Asia Barat. Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan…
Lebih lanjut



