PAS dan Kerajaan Perpaduan: Kalau dah jodoh…

SEJAK hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 22 Jun lalu, khabar angin mengenai siri perbincangan antara PAS dan wakil Kerajaan Perpaduan kembali bertiup.

Itu pun selepas Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil membuka cerita selepas ditanya petugas media di luar pusat penamaan calon.

“Perbincangan, memang banyak berbincang. Kita lihat bagaimana perbincangan antara menteri besar daripada PAS, contohnya dengan Perdana Menteri (Datuk Seri) Anwar Ibrahim, (serta) perbincangan di kalangan ahli parlimen dengan perdana menteri,” katanya.

Namun, akhirnya cerita itu cuba ditutup oleh pimpinan PAS melalui Timbalan Presidennya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan terbaru, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga menafikan perkara itu.

Tuan Ibrahim dalam ceramah hari pertama kempen PRK Sungai Bakap dilaporkan berkata, PAS tidak akan mengkhianati janji kepada pengundi mereka.

Manakala, Takiyuddin melalui satu kenyataan media hari ini pula berkata, PAS akan kekal bersama Perikatan Nasional dan meminta Fahmi berhenti ‘berimaginasi’ .

Namun, tanpa disedari kedua pemimpin utama PAS itu, idea mengenai penubuhan Kerajaan Perpaduan pernah dicetuskan oleh Presiden mereka, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Februari 2009.

Abdul Hadi mencadangkan kepada Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi agar Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat membentuk ‘sebuah kerajaan tanpa pembangkang’.

Sudah tentu idea berkenaan ditolak dengan keras oleh pimpinan BN dan parti komponen dalam Pakatan Rakyat.

Dan akhirnya, buah fikiran Abdul Hadi tidak lagi dibicarakan secara terbuka selepas Abdullah melepaskan jawatan dan melantik Datuk Seri Najib Razak sebagai penggantinya.

Mungkinkah pemimpin PAS lupa mengenai cadangan yang ketua mereka pernah suarakan pada tahun 2009?

Selepas sembilan tahun berlalu, idea penubuhan Kerajaan Perpaduan sekali lagi muncul selepas keputusan pilihan raya umum ke-14 (PRU14) menyaksikan tidak ada parti atau gabungan yang memperoleh majoriti 2/3 di Dewan Rakyat.

Cuma kali ini, idea itu datangnya daripada UMNO yang buat kali pertama kehilangan kuasa melalui pilihan raya umum.

PAS dilihat masih berminat untuk meneruskan konsep Kerajaan Perpaduan, namun disebabkan tidak memiliki jumlah kerusi mencukupi, mereka akhirnya meneroka kerjasama dengan UMNO melalui Muafakat Nasional.

Namun, kerjasama itu tidak bertahan lama apabila timbul beberapa isu yang akhirnya menyaksikan Muafakat Nasional berkubur sebelum PRU15.

Sehingga hari ini, tidak diketahui parti mana yang meninggalkan Muafakat Nasional – sama ada PAS atau UMNO – kerana masing-masing menyembunyikan alasan sebenar yang menjadi punca kesepakatan itu terlerai.

Apabila Pakatan Harapan dan Barisan Nasional merealisasikan pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca PRU15, parti PAS bukanlah diketepikan.

Namun, mereka memilih untuk kekal dalam gabungan Perikatan Nasional.

Sedangkan, pembentukan Kerajaan Perpaduan diketuai Datuk Seri Anwar adalah hasil kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong (ketika itu), Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Alangkah sayangnya apabila PAS melepaskan peluang untuk bersama-sama dalam Kerajaan Perpaduan, sedangkan mereka boleh mendabik dada dan memberitahu dunia bahawa idea asal pembentukan Kerajaan Perpaduan itu adalah hasil buah fikiran Presiden mereka sejak Februari 2009.

Related Posts

10 tapak Bazar Ramadan 2026 bakal beroperasi di Padawan

KUCHING – Sebanyak 10 tapak Bazar Ramadan akan beroperasi dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Padawan (MPP) bagi tahun 2026, melibatkan penyertaan penganjur daripada pihak komuniti dan sektor swasta. Pengerusi MPP,…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Apabila seorang anak sudah bersedia, mengapa kita perlu menahannya?

PAGI itu, seorang ibu berdiri di hadapan pintu sekolah rendah dengan tangan anaknya digenggam erat. Anak itu baru berusia 6 tahun. Wajahnya tidak gentar. Beg galasnya kemas, matanya bercahaya, dan…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

TCCS Marine sasar lahir tenaga maritim profesional

TCCS Marine sasar lahir tenaga maritim profesional

TCCS Marine pacu ekosistem latihan maritim negara

TCCS Marine pacu ekosistem latihan maritim negara

10 tapak Bazar Ramadan 2026 bakal beroperasi di Padawan

10 tapak Bazar Ramadan 2026 bakal beroperasi di Padawan

Apabila seorang anak sudah bersedia, mengapa kita perlu menahannya?

Apabila seorang anak sudah bersedia, mengapa kita perlu menahannya?

Lelaki ada 9 rekod jenayah positif dadah dicekup

Lelaki ada 9 rekod jenayah positif dadah dicekup

Penggunaan AV Pos Malaysia tingkat kecekapan, bukan singkir pekerja – Fahmi

Penggunaan AV Pos Malaysia tingkat kecekapan, bukan singkir pekerja – Fahmi