Paras air makin naik, MADA sentiasa buat pemantauan

ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah mengambil beberapa tindakan awal berikutan hujan berterusan di kawasan Muda bermula sejak Selasa lepas.

Berdasarkan kenyataan dikeluarkan Cawangan Komunikasi Korporat MADA pada Khamis, pemantauan paras air dan aliran sungai telah bermula sebaik sahaja turunan hujan berterusan dan peningkatan paras air sungai utama dikesan.

Menurutnya, rekod bacaan tertinggi dicatatkan di Stesen No. 64, Tunnel Intake sebanyak 155 milimeter (mm) pada 26 November lepas di kawasan tadahan empangan.

“Hujan di tadahan sungai iaitu di Sungai Padang Sanai pula merekodkan bacaan tertinggi sebanyak 128 mm pada hari sama, manakala hujan di dataran merekodkan bacaan tertinggi di Stesen No. 9 Kurong Anai sebanyak 87 mm.

“Keadaan hujan berterusan ini menyebabkan aliran sungai di Kuala Nerang mula meningkat ke paras berjaga-jaga iaitu pada 16.21 meter pada jam 11 pagi,Rabu dan mencecah ke paras bahaya 17.44 meter pada jam 3 petang hari sama,” katanya.

Tambah kenyataan itu, paras air Kuala Nerang menunjukkan trend meningkat iaitu 19.65 meter pada jam 8 pagi,Khamis.

Menurutnya, paras air bagi Sungai Bata, Sungai Pendang dan Sungai Arau merekodkan paras bahaya pada hari sama dengan masing-masing menunjukkan trend meningkat iaitu 9.56 meter, 4.95 meter dan 7.46 meter.

Bagaimanapun, jelas kenyataan terbabit, MADA telah mengambil tindakan awal untuk menyalurkan air lebihan ini melalui infrastruktur pengairan dan saliran sedia ada sejak 26 November 2024.

“Tindakan ini dilaksanakan melalui sistem Lana Bulu, Sistem Alor Changileh, Terusan Tengah dan Selatan. Operasi saliran melalui struktur ‘Pelubang Barrage’ di Kampung Kepala Batu bermula Rabu bagi mempercepatkan aliran daripada Sungai Padang Terap.

“Kesemua lapan pintu Tandop Pasang Surut Sungai Kedah, Ampang Jajar dibuka dan hanya ditutup apabila berlaku kenaikan aras laut,” katanya.

MADA menambah, kedudukan semasa paras Empangan Pedu adalah sebanyak 65.43 peratus, Empangan Muda bersamaan 126.80 peratus dan Empangan Ahning berada pada paras 98.16 peratus.

Sehubungan itu, ujar kenyataan tersebut, MADA juga telah mengambil tindakan menutup pelepasan air dari empangan berikutan turunan hujan menyeluruh yang berlaku di kawasan dataran MADA pada Selasa.

Kongsinya, MADA turut mengoperasikan bilik gerakan banjir di peringkat Ibu Pejabat dan Pejabat Wilayah bermula Rabu untuk memantau paras sungai utama di kawasan Muda, selain terus memantau takungan empangan, turunan hujan, dan paras air melalui sistem maklumat pengurusan air.

MADA memaklumkan, pihaknya juga berhubung dengan pihak berkuasa negeri dan daerah bagi mendapatkan maklumat terkini tentang situasi banjir.

Dalam perkembangan sama, katanya, status kemajuan aktiviti penanaman padi di Kawasan Muda telah mencatatkan aktiviti tanam sebanyak 83.3 peratus dengan keluasan sebanyak 83,873 hektar bagi musim 2/2024 sehingga 27 November 2024.

“Anggaran purata umur padi adalah 30 hari lepas tabur (HLT), maka MADA akan mengenal pasti kerosakan tanaman padi di peringkat kawasan melalui bancian yang akan dijalankan selepas air surut,” katanya.

Related Posts

KSN santuni pelajar, sampaikan sumbangan di Bachok

Oleh: Siti Nur Asyikin Mohd Rosli BACHOK – Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar menyantuni warga Sekolah Menengah Ugama (A) Darul Ulum Al-Muhammadiah, Kampung Kolam, Pak Badol…

Lebih lanjut

teruskan membaca
Karnival Jom Masuk Universiti buka ruang pelajar pilih bidang berpotensi tinggi

KOTA KINABALU – Program Jom Masuk Universiti peringkat Zon Pantai Barat Sabah menjadi platform penting kepada pelajar, khususnya lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), mendapatkan maklumat terkini mengenai peluang melanjutkan pengajian…

Lebih lanjut

teruskan membaca

Perlu dibaca

15 peratus terjejas harga diesel, kerajaan cari jalan ringankan beban rakyat – PM

15 peratus terjejas harga diesel, kerajaan cari jalan ringankan beban rakyat – PM

PM ucap tahniah jemaah haji, doakan urusan dipermudah

PM ucap tahniah jemaah haji, doakan urusan dipermudah

KSN santuni pelajar, sampaikan sumbangan di Bachok

KSN santuni pelajar, sampaikan sumbangan di Bachok

Karnival Jom Masuk Universiti buka ruang pelajar pilih bidang berpotensi tinggi

  • By Ynom
  • April 18, 2026
Karnival Jom Masuk Universiti buka ruang pelajar pilih bidang berpotensi tinggi

Selat Melaka bukan milik retorik: Realiti undang-undang vs politik populis

Selat Melaka bukan milik retorik: Realiti undang-undang vs politik populis

Jalan Lubok Tamang pacu ekonomi Saribas, beri manfaat 3,000 penduduk

Jalan Lubok Tamang pacu ekonomi Saribas, beri manfaat 3,000 penduduk