
IBU BAPA diingatkan agar memantau keselamatan anak-anak berikutan banjir yang melanda di beberapa kawasan ketika ini.
Peringatan itu diberikan oleh Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang berkata, kerajaan memberi jaminan untuk menjaga keselamatan rakyat ketika banjir melanda pada cuti sekolah ini.
“Kebetulan banjir berlaku pada cuti sekolah, jadi saya minta ibu bapa memantau pergerakan anak-anak.
“Kita sedaya upaya cuba mengatasi krisis ini dengan semua agensi digerakkan,” katanya kepada media selepas meninjau situasi banjir di Nibong Tebal, hari ini.
Ahli Parlimen Nibong Tebal itu turut menasihati penduduk kawasannya supaya mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diarahkan berpindah ke pusat pemindahan sementara.
“Banjir kali ini membimbangkan. Ada rumah (di Nibong Tebal) yang agak teruk dan mungkin perlu pemindahan segera. Kita minta jika terlibat dengan pemindahan patuhi arahan pihak berkuasa demi keselamatan,” katanya.
Sementara itu, banjir di sekitar Nibong Tebal telah menjejaskan lebih 100 rumah dengan kawasan terlibat antaranya Jawi, Sungai Kechil, Kampung Besar, Taman Cenderawasih, Kampung Sungai Buaya, Kampung Sungai Udang, Taman Nibong Tebal, Kampung Sanglang, Kampung Setthu dan Taman Ilmu.
Difahamkan, air dari sungai berhampiran mula melimpah ke tebing pada 8 pagi tadi susulan hujan sejak malam tadi, malah air dari kawasan bukit turut melimpah memasuki kawasan rumah penduduk.







